Batu Pahat: Kesungguhan Malaysia mengekang keganasan, berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah serta sebagai negara Islam sederhana yang mempunyai masyarakat majmuk antara tiga sebab penderma dari Asia Barat menyumbang dana politik untuk UMNO.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, isu sumbangan derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disahkan sebagai dana politik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, ia disahkan 100 peratus bebas daripada unsur rasuah selepas beliau meneliti sendiri dokumen termasuk aliran kewangan berkenaan, malah sumbangan itu adalah dana penghargaan kepada Malaysia dengan terdapat tiga sebab ia disalurkan kepada UMNO melalui akaun peribadi Najib.

“Faktor pertama adalah Malaysia yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai undang-undang mengekang keganasan kumpulan militan Negara Islam (IS) menerusi Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA).

“Kedua, UMNO yang diterajui Najib memperjuangkan Islam dan mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan yang ketiga, derma itu sebagai mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara sederhana yang menjalankan hukum Islam biarpun terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di sini, semalam.

Menurutnya, sumbangan atau derma dari Arab Saudi itu juga bukan hanya tertakluk kepada Malaysia semata-mata, malah beberapa negara Islam lain turut menerima sumbangan sama.

“Bukan hanya kita yang terima, malah terdapat dua tiga negara lain yang diiktiraf penyumbang dari Arab Saudi. Oleh itu, saya berharap semua perwakilan di peringkat akar umbi tidak sewenang-wenangnya mempercayai fitnah yang dilemparkan kepada Perdana Menteri berhubung isu dana ini.

“Malah, saya juga berharap penerangan ini cukup jelas dan tidak lagi dipanjangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:14 AM