MUHYIDDIN ketika berucap di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.
MUHYIDDIN ketika berucap di Kelab Sultan Sulaiman, malam tadi.

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berehat seketika sehingga siasatan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya diselesaikan.

Muhyiddin berkata, langkah itu bagi memastikan siasatan pihak berkuasa dibuat secara bebas, sekali gus menghentikan persepsi negatif masyarakat terdapat campur tangan pihak tertentu.

Katanya, skandal 1MDB mesti diselesaikan segera seperti janji kerajaan kerana ia membabitkan keyakinan rakyat terhadap Perdana Menteri dan tidak mahu parti terheret sama dalam masalah berkenaan.

“Saya tiada niat jahat, tetapi tidak mahu isu ini berpanjangan dan menyebabkan parti kalah pada pilihan raya. Apa saya sampaikan pertanyaan rakyat. Kita doakan Perdana Menteri tidak terbabit dan keyakinan rakyat bertambah selepas itu,” katanya pada Program Himpunan Suara Anak Muda di Kelab Sultan Sulaiman, yang dihadiri 3,000 orang, di sini, malam tadi.

Muhyiddin berkata, untuk mendapat kembali keyakinan rakyat, kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu komited dan mengamalkan tadbir urus yang baik.

“Saya dah guna hampir semua saluran untuk memberi nasihat dan menegur berkaitan isu ini,” katanya.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Dalam pada itu, Muhyiddin sekali lagi menegaskan beliau hadir pada Perhimpunan Agung UMNO biarpun tidak dibenarkan berucap merasmikan perhimpunan ketiga-tiga sayap mengikut tradisinya.

Katanya adakah itu menunjukkan tradisi demokrasi dalam UMNO terhakis dan wujud sindrom bisu kalangan ahli parti.

“Saya tidak tahu adakah saya boleh menyampaikan ucapan penggulungan atau tidak. Kenapa takut? Adakah langkah menyekat saya berucap menyelesaikan masalah yang timbul? Tidak.

“Institusi timbalan presiden mesti dihormati seperti institusi presiden. Apa lagi hak yang ada pada akar umbi ,” katanya.

Muhyiddin berkata, justeru perwakilan yang menghadiri perhimpunan terbesar parti berani bersuara dalam menyampaikan aspirasi rakyat keseluruhannya.

“Saya dikhabarkan ada usaha menyekat perwakilan atau ahli daripada menyuarakan isu tertentu. Sepatutnya mereka memberi akar umbi bersuara seluas-luasnya. Kalau ini terus dilakukan, akan timbul banyak masalah kepada parti kelak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan jawatan Presiden parti itu dihadkan kepada dua penggal untuk memastikan penyandangnya melakukan sehabis baik.

“Sesiapa yang menjadi barah dan nanah dalam parti harus ditolak demi masa depan orang Melayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 8:41 AM