MESSI (kanan) melepaskan diri daripada kawalan pemain Sevilla.
MESSI (kanan) melepaskan diri daripada kawalan pemain Sevilla.
AFP

Madrid: Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk menyamakan rekod Sepanyol dengan 34 perlawanan tanpa kalah dalam setiap pertandingan apabila melonjak lapan mata di puncak La Liga hasil kemenangan 2-1 ke atas Sevilla.

Sevilla adalah pasukan terakhir yang menewaskan Barca Oktober lalu dan menjaringkan gol pertama menerusi Vitolo.

Bagaimanapun Barca bangkit daripada permulaan hambar hasil sepakan percuma Lionel Messi dan gol kemenangan Gerard Pique pada awal babak kedua.

Skuad Luis Enrique kini menyamai pencapaian Real Madrid pada musim 1988-89 dan kini 12 mata mengatasi Madrid di tempat ketiga.

Atletico Madrid masih lagi pencabar terdekat Barca selepas menewaskan Madrid 1-0 Sabtu lalu.

“Kami berada di tahap terbaik, namun rekod tidak bermakna apa-apa. Pada akhirnya semuanya dinilai menerusi gelaran,” kata Pique.

“Musim kami berada di landasan yang betul tapi kami perlu menyempurnakannya.”

Terdahulu rentak empat kemenangan Valencia tergendala apabila anak buah Gary Neville tewas 0-3 kepada Athletic Bilbao, menjelang aksi 16 pasukan terakhir Liga Europa.

Pasukan Basques mara ke tangga ketujuh La Liga dengan tiga gol dalam tempoh tujuh minit babak kedua di Mestalla.

Bagaimanapun Neville berang apabila dua rayuan penalti Valencia ditolak sebelum gol pertama.

“Saya tidak menyalahkan pengadil dalam setiap perlawanan tapi pengawalan perlawanannya mengecewakan. Sesetengah keputusannya tidak masuk akal,” ujar bekas pemain Manchester United itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 7:57 AM