PHIL (dua dari kanan) bersama Voro (tiga dari kanan) mengetuai sesi latihan, semalam.
PHIL (dua dari kanan) bersama Voro (tiga dari kanan) mengetuai sesi latihan, semalam.
AFP

Madrid: Jurulatih baru Valencia Gary Neville hanya sekadar menjadi pemerhati apabila pasukannya berdepan tugas berat menghalang juara Eropah, Barcelona daripada terus menjaringkan gol hari ini.

Neville tidak akan mengambil alih tugas secara rasmi di Mestalla sebelum Ahad ini dan menyaksikan pasukan itu dikendalikan sementara adiknya Phil dan Voro.

“Rabu lalu pengumuman dibuat dan Khamis hari pertama saya bertugas jadi tidak adil bagi saya untuk berada bersama pemain dan melakukan latihan dalam waktu terdekat sebelum berdepan perlawanan besar,” katanya.

Biarpun berdepan tugas sukar, Valencia memerlukan mata penting apabila mereka kini menduduki tangga kesembilan, kurang lima mata daripada sasaran berada dalam kelompok empat teratas.

Sebaliknya, Barcelona melonjak empat mata mengatasi Atletico Madrid untuk menguasai kedudukan liga dengan Real Madrid ketinggalan dua mata.

Rabu lalu mereka membelasah Villanovense pada saingan Piala Raja Sepanyol dan sudah meledak 26 gol dalam enam perlawanan terakhir mereka.

Dengan Real Madrid berdepan penyingkiran daripada saingan piala itu kerana menurunkan pemain yang tidak layak beraksi ketika berdepan Cadiz Rabu lalu, Barcelona sudah bersedia untuk menyaksikan sama ada barisan bimbingan Luis Enrique itu mampu melakar sejarah mengulangi pencapaian menjulang tiga kejuaraan La Liga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara musim lalu.

“Penyokong dan pegawai teknikal gembira dengan apa yang kami nikmati saat ini,” kata penyerang Barca Luis Suarez.

“Kami mahu melakar sesuatu dalam sejarah bola sepak.

“Kami mempunyai kelebihan (dalam liga) dan mahu merangkul sebanyak mungkin gelaran namun kami tidak boleh bersikap selesa ketika berdepan sesiapa saja.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:04 AM