Reuters

Madrid: Bekas pengendali Itali Cesare Prandelli melepaskan jawatan sebagai jurulatih Valencia selepas hanya meraih satu kemenangan daripada lapan perlawanan La Liga, menurut kelab Sepanyol itu, semalam.

Prandelli mengambil alih pada Oktober lalu dengan kontrak hingga Jun 2018, adalah jurulatih ketujuh sejak ahli perniagaan Singapura Peter Lim membeli kelab itu pada Mei 2014.

“Cesare Prandelli sudah memberi penjelasan, keputusannya untuk meletak jawatan sebagai jurulatih, semalam,” menurut kenyataan kelab itu.

Salvador ‘Voro’ Gonzalez, salah seorang staf kejurulatihan senior, akan menjadi pengendali sementara skuad utama.

Selepas kemenangan 2-1 ke atas Sporting Gijon pada perlawanan pertama kendalian Prandelli, Valencia tewas empat dan seri tiga aksi La Liga walaupun mereka menewaskan Leganes di laman sendiri dan lawan dalam pertemuan Piala Raja Sepanyol.

Valencia kini empat pasukan terbawah dengan hanya mengumpul 15 mata menerusi 15 perlawanan, sembilan kali tewas, berada di luar zon penyingkiran kerana perbezaan gol.

Ia jelas tidak sama seperti sikap optimis ketika beliau dilantik apabila berkata “ia sesuatu yang membanggakan bersama kelab yang cemerlang dan kami mahu menjulangnya kembali.”

Valencia salah sebuah kelab utama Sepanyol namun selepas pertukaran ramai jurulatih, termasuk bekas pertahanan England Gary Neville musim lalu, mereka mengalami kemerosotan sejak kebelakangan ini.

Prandelli menggantikan Pako Ayestaran yang dipecat selepas melakar catatan terburuk dalam sejarah 98 tahun penubuhan kelab, sekadar meraih 10 mata menerusi 12 perlawanan.

Beliau mengikut jejak Neville, yang menjadi jurulatih kedua terburuk pada Mac lalu.

Prandelli mempunyai pengalaman luas bersama Fiorentina, Galatasaray dan Itali, muncul naib juara Euro 2012, berbanding Neville dan Ayestaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 4:57 AM