IKEA Cheras yang berkeluasan 42,000 meter persegi.
IKEA Cheras yang berkeluasan 42,000 meter persegi.
Oleh Hartini Mohd Nawi


Diasaskan di Sweden sejak 1943, IKEA menawarkan pelbagai rangkaian kelengkapan rumah dengan reka bentuk menarik dan penyelesaian kehidupan pada harga berpatutan supaya orang ramai mampu memilikinya.

IKEA percaya bahawa rasa tanggungjawab ditunjukkan terhadap orang ramai dan persekitaran adalah etika pelaksanaan perniagaan yang baik.

Menariknya IKEA menggabungkan usaha yang mesra alam dalam perniagaan hariannya dan terus menyokong inisiatif yang menyokong kanak-kanak dan alam sekitar.

Hingga kini, terdapat lebih daripada 366 gedung IKEA di 47 negara termasuk dua di negara ini.

Bertemakan Pembukaan IKEA Cheras Yang Baharu, Ikea Cheras, Kuala Lumpur menjadi gedung IKEA terbesar di negara ini.

Berkeluasan 42,000 meter persegi, ia 20 peratus lebih besar daripada IKEA Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Terletak di Jalan Cochrane, Cheras dan hanya lima minit pemanduan dari pusat bandar.

Mercu tanda ikonik baru ini melihat potensi dalam mengubah Cheras menjadi destinasi beli-belah yang bertenaga selain membawa bersama keseronokan membeli-belah.

Sepanjang minggu pembukaan, IKEA Cheras turut menyediakan pelbagai aktiviti gedung yang menarik untuk seisi keluarga.

Ia termasuk kemunculan khas panda, lukisan muka, persembahan badut dan belon percuma untuk kanak-kanak.

Pada masa sama menonjolkan 56 ruang pameran dan menawarkan lebih daripada 8,500 produk yang bersesuaian dengan kediaman di negara ini.

Bagi lebih keselesaan, gedung ini juga dilengkapi dengan kemudahan yang mampu menampung 780 tempat duduk di restoran dan lebih 1,700 tempat letak kereta.

Pengarah Peruncitan Ikea Malaysia, Singapura dan Thailand, Mike King berkata, IKEA kini hampir dengan lebih ramai pelanggan selain bakal menyediakan akses yang lebih mudah.

“Bagi membolehkan pelanggan memilih rangkaian luas penyelesaian hiasan rumah ala Sweden yang mempunyai reka bentuk menarik, berfungsi, berkualiti pada harga berpatutan.

“Lebih ramai rakyat negara ini berpeluang menikmati pengalaman yang unik dan konsisten di gedung IKEA yang sememangnya digemari ramai,” katanya ketika majlis pembukaan IKEA itu, baru-baru ini.

Mike berkata, berpegang teguh kepada visi IKEA dalam mencipta kehidupan harian yang lebih baik untuk orang ramai, adalah penting pihaknya menyalurkan impak yang positif dalam komuniti di tempat IKEA beroperasi.

“Selari dengan pembangunan sekitarnya, kami percaya gedung IKEA ini berpotensi mengubah Cheras sebagai destinasi beli-belah yang menyeronokkan.

“Di samping menjadikannya sebagai mercu tanda peruncitan terbaharu di Kuala Lumpur,”katanya.

IKEA Cheras dibuka dari 9.30 pagi hingga 10.00 malam (Isnin hingga Khamis) dan 9.30 pagi hingga 11.00 malam (Jumaat - Ahad, hari perayaan dan cuti umum).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 5:22 AM