Oleh Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy dan rakannya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret hari ini daripada dua pertuduhan memiliki dadah jenis syabu, Mac lalu.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor memutuskan demikian terhadap Benjy, 38, dan Julia Ernie Jamaludin, 26, tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, Benjy dan Julia Ernie didakwa memiliki dadah jenis syabu masing-masing seberat 3.01 gram dan 1.71 gram di The Reeds Boutique Hotel, No 9 Jalan Yap Ah Shak, Dang Wangi di sini, 9.30 malam pada 5 Mac lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, mahkamah memerintahkan Julia membela diri atas pertuduhan memiliki dadah yang sama seberat 0.37 gram di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 12:53 PM