Benjy ceria selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memiliki syabu. FOTO Syarafiq Abd Samad
Benjy ceria selepas dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memiliki syabu. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ibrahim Isa

Muar: Pelakon yang juga anak dramatis terkenal, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy, 38, dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret Muar atas tuduhan memiliki syabu, Mac tahun lalu.

Benjy ditahan bersama rakannya, Raja Shariff Hidayatullah Raja Shariffuddin, 29, dalam sekatan jalan raya pada 1.40 pagi berhampiran stesen minyak di Jalan Muar-Pagoh, pada 27 Mac 2015.

Majistret Muhammad Hidayat Wahab ketika membuat keputusan itu memberikan alasan pihak pendakwaraya gagal membuktikan syabu seberat 28.99 gram yang ditemui di dalam satu beg di bawah tempat duduk pemandu adalah miliknya.

Bagaimanapun, rakannya yang juga tertuduh pertama Raja Shariff Hidayatullah diarahkan membela diri pada 3 dan 5 Mei ini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39A(1) akta sama bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Benjy diwakili peguambela, Farhan Read, Raja Shariff Hidayatullah diwakili Mohd Faiz Iskandar Hamzah dan Khalid Yusoff manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Azfahanim Rajaluddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 4:10 PM