KHAIRULHIZAM keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam atas pertuduhan kesalahan miliki 0.53g dadah jenis syabu.
KHAIRULHIZAM keluar dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam atas pertuduhan kesalahan miliki 0.53g dadah jenis syabu.
Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Vokalis kumpulan Terra Rossa, Jijam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memiliki dadah jenis syabu, Sabtu lalu.

Jijam atau nama sebenarnya Khairulhizam Kaha, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur’ Aminahtul Mardiah Md Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki satu peket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal jernih dadah jenis syabu anggaran berat 0.53 gram di kawasan bawah blok 8, Flat Taman Miharja Fasa 2, Cheras pada jam 5.15 petang, 9 Julai lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pada 12 Februari tahun lalu, Jijam didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ampang selepas tertuduh mengaku salah terhadap tiga pertuduhan memiliki dan mengambil syabu, dua tahun lalu.

Majistret Zulyana Zollkapli turut memerintahkan Khairulhizam berada dalam pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:28 AM