AB Rauf (tiga dari kanan) bersama Yusof (tengah) ketika memorandum perjanjian Kembara Iman dan TV Al-Hijrah.
AB Rauf (tiga dari kanan) bersama Yusof (tengah) ketika memorandum perjanjian Kembara Iman dan TV Al-Hijrah.
Oleh Nor Akmar Samudin


Kesedaran masyarakat Islam hari ini untuk ‘mencari’ dan mendalami agama mewujudkan kerjasama antara stesen TV AlHijrah dengan Kembara Iman Sdn Bhd bertujuan me–nganjurkan program Kembara Iman yang akan diadakan di seluruh negara mulai Januari tahun depan.

Menurut wakil daripada Kembara Iman, Datuk Seri Ab Rauf Jusof, program itu akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kata Rauf, objektif penganjuran Kembara Iman sebagai tanda penyatuan umat Islam tanpa mengira latar belakang untuk berada pada satu tempat dan satu masa bagi meraikan syiar Islam.

“Kami mahu menjadikan karnival ini sebagai satu lubuk ilmu pengisian kehidupan dan panduan bagi mereka yang masih tercari-cari nur (cahaya) dalam kehidupan seharian.

“Berpotensi membuka peluang kepada bukan Muslim dalam mendekati agama Islam dan seterusnya membuka jiwa serta minda dalam mendalami Islam.

“Satu platform bagi pihak kerajaan, korporat dan agensi terbabit mendekatkan diri dengan masyarakat dalam menguar-uarkan maklumat terkini kepada umat Islam khususnya,” katanya.

Rauf ditemui pada sidang media pengumuman program itu yang turut dihadiri Pengerusi TV AlHijrah, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Datuk Wan Alias Wan Abdullah.

Katanya, karnival itu akan berlangsung di 12 lokasi di seluruh negara bermula di Masjid Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya yang menyasarkan seramai 250,000 pengunjung. Lokasi terakhir di Sarawak.

“Pada setiap lokasi, karnival itu diadakan selama empat hari bermula Khamis hingga Ahad,” katanya.

Antara aktiviti yang disediakan adalah solat berjemaah, taranum al-Quran, khatam al-Quran kanak-kanak, program pengurusan jenazah, program kursus kahwin, program celik fardu Ain dan kem qiamullail.

Atur cara lain, pertunjukan fesyen Muslimah, pertunjukan fesyen kanak-kanak, bengkel tudung hijabista, bicara selebriti, slot bersama saudara Islam baru, bengkel umrah & haji, program tafsir al-Quran, bengkel zakat dan sebagai pentas dakwah serta pameran produk halal dan produk kesihatan.

“Pentas utama pula akan diadakan Konsert Kembara Iman, Program Selawat Perdana, Malam Cinta Rasul dan program menikah beramai-ramai.

“Semoga program ini dapat membimbing dan mendidik pengunjung dalam membentuk diri menjadi insan yang berilmu, beriman, berketrampilan, beramal soleh dan berakhlak mulia sesuai dengan tuntutan al-Quran dan sunah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 11:08 AM