CUKUP istimewa, rancangan My Quran Time ketika bersiaran langsung.
CUKUP istimewa, rancangan My Quran Time ketika bersiaran langsung.
Sudirman Mohd Tahir

Stesen TV Alhijrah menjadi perintis dengan menggunakan khidmat jurubahasa isyarat bagi menyantuni golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran dalam program keagamaan disiarkan.

Percubaan pertama itu sudah dilaksanakan pada Julai lalu menerusi rancangan My #QuranTime yang disiarkan secara langsung selama satu jam, bermula jam jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris berkata, TV Alhijrah adalah stesen televisyen pertama negara yang menggunakan perkhidmatan jurubahasa isyarat bagi rancangan agama.

"Saya ingin menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) dan Yayasan Pendidikan Al-Quran Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menugaskan Felo Daie Pekak USIM, Azlina Mohamed Isa sebagai penterjemah bahasa isyarat.

"Dia bukan saja menterjemah apa yang dibincangkan oleh panel rancangan My #QuranTime seperti kebiasaan dilakukan oleh penterjemah bahasa isyarat di stesen lain, tetapi turut menterjemah ayat suci al-Quran yang dilantunkan qari iaitu Ustaz Fazrul Ismail, Ustaz Ahmad Termizi Haji Ali dan Ustaz Tarmizi Abdul Rahman," katanya.

Menurut Namanzee, pendekatan dan inisiatif digunakan itu antara keunikan yang ada pada stesen berkenaan.

"Jadi, di sinilah terletaknya keunikan stesen kami (TV Alhijrah). Usaha ini memerlukan kepakaran, pemahaman serta penghayatan yang sangat tinggi.

AZLINA galas tanggungjawab sebagai Jurubahasa Isyarat.
AZLINA galas tanggungjawab sebagai Jurubahasa Isyarat.

"Tiada ruang untuk sebarang kesilapan kerana kita perlu menterjemahkan 'kalam' Allah. Saya melihat penambahbaikan yang TV Alhijrah laksanakan ini sebagai hadiah istimewa buat rakan-rakan kurang upaya kategori pendengaran," katanya.

Dalam masa sama, Namanzee berkata, semua program musim baharu di slot Deen yang dijadualkan siarannya pada Oktober depan adalah mesra OKU pendengaran.

Antara rancangan di slot Deen siaran jam 7.30 malam, yang akan mempunyai jurubahasa isyarat adalah Cinta Ilmu dan Tawajjuh. Disusuli juga, semua rancangan lain seperti Ngaji On The Go, Riwayat Akhir Zaman, Bila Hijab Terbuka, Kembara Mahsyar, Hakikat Tarikat Makrifat dan E-Kaunter Netizen.

"Kini, saya menyeru semua masyarakat OKU pendengaran untuk menonton TV Alhijrah. Kita sama-sama jadikan stesen ini sebagai ladang ilmu yang akan dituai hasilnya di akhirat nanti, insya-Allah," katanya.

Penterjemah bahasa isyarat Azlina Mohamed Isa pula berkata, kemunculannya di TV Alhijrah sangat disenangi rakan-rakan OKU terutama kategori Orang Pekak.

"Saya mengambil serius amanah yang diberikan TV Alhijrah ini kerana saya adalah 'suara' rakan-rakan OKU pekak. Ini adalah jihad saya untuk menyebarkan dakwah melalui penterjemahan kandungan Islam di televisyen secara tepat, mudah difahami dan menarik.

"Pada ketika ini, penterjemahan bahasa isyarat berkaitan al-Quran masih tidak banyak. Jadi, saya perlu pantas berfikir dan memastikan apa yang saya terjemahkan tepat dengan bait-bait al-Quran, kandungan rancangan serta apa yang diutarakan oleh semua 'asatizah'.

Selaku salah seorang Felo Daie Pekak USIM, dia juga tidak melihat cabaran menterjemah bahasa al-Quran sebagai limitasi untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat OKU.

Ini kerana, dia mengambil rujukan isyarat terjemahan al-Quran dari pelbagai negara Arab sebagai panduan serta mengubah suai mengikut konteks budaya komuniti OKU pendengaran di Malaysia.

"Menterjemah al-Quran menggunakan bahasa isyarat adalah satu cabang ilmu yang harus diterokai demi pembangunan ummah. Semoga usaha TV Alhijrah meraikan komuniti OKU pendengaran di Malaysia ini berupaya memanfaatkan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:30 AM