Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Nasib berbeza buat dua jaguh badminton dunia apabila Datuk Lee Chong Wei (gambar) mudah mara ke suku akhir Siri Super Terbuka Hong Kong ketika Lin Dan tewas mengejut kepada pemain Hong Kong Ng Ka Long semalam.

Ini bermakna laluan Chong Wei ke perlawanan akhir semakin terbuka kerana tidak perlu bertemu Lin Dan di separuh akhir, namun harus terlebih dulu menundukkan pemain nombor satu dunia, Chen Long pada suku akhir hari ini.

Semalam Chong Wei tidak berdepan masalah mengalahkan pemain Jerman Marc Zwiebler 21-12, 21-12 dalam perlawanan 38 minit, manakala Chen Long menumpaskan pemain Thailand Boonsak Ponsana 19-21, 21-8, 21-13.

Lin Dan yang diletakkan pilihan ketiga kejohanan tewas straight set, 8-21, 18-21 kepada Ka Long.

Jurulatih perseorangan lelaki negara, Tey Seu Bock bagaimanapun tidak peduli sama ada Chong Wei akan sekali lagi menang atau tidak ketika berdepan Chen Long.

“Sudah tentu saya mahu dia cuba sebaik mungkin dan tidak ada tekanan buatnya. Minggu lalu dia menumpaskan Chen Long dan minggu ini sudah tentu dia mahu mengalahkan lagi pemain itu,” katanya.

Jelasnya, dia juga tidak peduli sama ada Chong Wei penat atau tidak tetapi harus fokus satu demi satu perlawanan serta berharap anak buahnya itu mampu memberikan aksi terbaik.

Turut mara ke suku akhir, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang mengalahkan pasangan Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Cheol 22-20, 21-18.

Mereka akan bertemu sama ada pasangan senegara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong atau pilihan keenam dari China, Chai Biao-Hong Wei yang beraksi lewat malam tadi.

Bagaimanapun seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara Chong Wei Feng gagal ke suku akhir apabila tunduk kepada Wang Zhengming dari China 12-21, 14-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:14 AM