Dengar saja istilah teka-teki, pastinya memeningkan. Bagaimanapun, HAZRIL MD NOR seronok sewaktu mencuba permainan mudah alih The Room 3 yang menggabungkan pelbagai elemen teka- teki untuk diteroka.

Permainan mudah alih menerusi telefon pintar dan tablet mampu menarik perhatian sesiapa saja tanpa mengira peringkat umur.

Difahamkan, pelantar kompleks seperti iOS dan Android dibanjiri oleh ‘game’ yang mengetengahkan konsep mesra pengguna dan mudah difahami.

Ia tidak bermakna anda akan mudah bosan dan tidak menemui cabaran dalam permainan sedemikian. Sesetengahnya memerlukan strategi dan perancangan teliti sekali gus mengajak anda berfikir untuk menamatkan permainan.

Penuh misteri

Itulah ciri yang terdapat pada permainan The Room 3 di pelantar iOS. Keluaran terbaru Fireproof Games ini sudah lama dinantikan pemain yang dahagakan kelainan dalam permainan mudah alih masa kini. Mana tidaknya, gabungan visual 3D dan konsep permainan yang rumit pastinya mencabar minda anda jadi lebih kreatif dan cekap.

Berpaksikan pada konsep teka-teki, The Room 3 menaik taraf ciri dalam keluaran terdahulu demi mencipta suasana lebih mendebarkan dan penuh misteri. Seperti biasa, karakter anda dilihat terperangkap dalam sebuah bilik gelap dan hanya ditemani kotak dengan susun atur membingungkan.

Berbeza dengan keluaran sebelumnya, kotak yang menjadi ikon kepada permainan terbabit dikekalkan, namun teka-teki tidak lagi terikat dalam bilik yang sama sebaliknya diperluaskan pada lokasi berbeza.

Ini bermakna The Room menyediakan pelbagai skop teka-teki untuk diselesaikan sekali gus mencipta konflik berskala lebih besar dan rumit.

Dalam keluaran ketiga ini, The Room juga mengetengahkan mekanisme baru. Entiti yang dikenali sebagai The Craftsman menyediakan alatan khas bagi mencapai objektif anda menyelesaikan setiap teka-teki.

Sebagai contoh, karakter anda dilengkapi sejenis kanta yang diubah suai untuk memerhati objek lebih kecil yang tidak dapat dilihat mata kasar.

Seperti yang diramal dalam permainan teka-teki, kekecewaan adalah perkara biasa. Namun, The Room 3 tidak mudah mematahkan semangat anda untuk terus bermain walaupun masih tersekat pada teka-teki sama.

Sebanyak tiga petunjuk diberikan pada anda sebagai maklumat untuk membantu anda menemui jalan penyelesaian.

Visual menarik

Kehebatan permainan ini bukan saja dipuji pada mekanisme yang ada, tapi juga grafik dan bunyian. Audio yang diterapkan sangat bersesuaian dengan tema berhantu sekali gus membuatkan bulu roma anda naik kerana terasa ada entiti sedang memerhati.

Ia juga mencipta imaginasi yang membayangkan anda dalam sebuah bilik dan terperangkap tanpa jalan keluar. Begitu dramatik kerana apa yang dirasakan seakan-akan realiti.

Sesuai dengan kecanggihan audio yang ada, grafik permainan ini dipertingkatkan ke tahap lebih tinggi. Landskapnya dipenuhi dengan lakaran kreatif yang mencampurkan budaya moden dan zaman ‘pertengahan’ sekali gus mewujudkan suasana pengembaraan lain daripada lain.

The Room 3 turut menyokong fungsi pelbagai sentuhan pada peranti pintar. Anda boleh berinteraksi dengan objek menggunakan ‘zoom’ ataupun memegang sebuah objek menggunakan satu jari dan mengalihkan objek seterusnya menggunakan jari yang lain. Interaksi juga terasa mudah dan tiada masalah.

Secara keseluruhannya, The Room 3 berbaloi dijadikan permainan masa lapang yang memaksa anda menjadi lebih kreatif. Digabungkan dengan visual menarik dan mekanisme teka teki yang rumit, pastinya permainan ini mampu berikan keseronokan berbeza kepada anda yang dahagakan kelainan dalam permainan mudah alih di peranti pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:28 AM