PLOT lebih dinamik dan sistem pembuatan senjata diperkenalkan.
PLOT lebih dinamik dan sistem pembuatan senjata diperkenalkan.
Oleh Hazril Md Nor

HAZRIL MD NOR teruja dengan keluaran terbaru Tomb Raider yang penuh kelainan.

Dalam industri permainan video, populariti adalah segalanya apabila ia membabitkan karakter utama. Sebut saja Lara Croft, nama ini memang tidak asing lagi malah semua mengenali dirinya daripada francais Tomb Raider yang popular sepanjang zaman.

Bagi peminat tegar karakter wanita ini dan aksi kembara dilaluinya, anda kini mampu menarik nafas lega apabila Crystal Dynamics menyambung legasi itu dengan keluaran terbaru Rise of The Tomb Raider.

Berkisarkan mengenai protagonis Lara Croft dan Jonah, pemain kini ditempatkan di negara beriklim sejuk, Siberia.

Melalui beberapa imbasan lalu, Lara mengikuti jejak untuk mendapatkan artifak berharga dan mencari bandar tersembunyi, Kitezh sebelum bertembung dengan organisasi Trinity yang berniat menyalahgunakan artifak itu.

Lebih aksi

Sudah tentunya kebolehan wanita berdikari ini tidak dipersiakan begitu saja. Selain pakar mendaki gunung dan bergerak ke mana-mana, anda sebagai pemain mempunyai lebih banyak pilihan untuk berinteraksi dengan keadaan sekeliling.

Sebagai contoh, anda boleh mengelirukan pihak lawan dengan menyorok di sebalik pokok ataupun mengelakkan diri daripada dikesan dengan bergerak di atas bumbung.

Menariknya kali ini, Lara boleh mencipta busur dan panah daripada bahan terpakai termasuk haiwan. Senjata lain seperti pistol dan kapak untuk mendaki gunung dikekalkan, senjata tajam seperti pisau ditambah untuk serangan dekat.

Kekalkan elemen asal

Selain memperluaskan lagi dunia Tomb Raider yang kaya dengan artifak dan teka-teki klasik, kini terdapat lebih banyak makam untuk diteroka.

Teka-tekinya pula bukanlah mudah untuk diselesaikan dan realitinya anda akan menyaksikan panorama paling indah dalam permainan, hanya didapati dalam makam sampingan yang ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 12:41 PM