Cut The Rope bukanlah pendatang baru dalam dunia permainan mudah alih. HAZRIL MD NOR kagum dengan keluaran terbaru Zeptolab yang menampilkan kelainan, namun masih mengekalkan elemen asal dalam francais.

Permainan kasual antara hiburan segera anak muda yang ingin mengisi waktu terluang. Konsep mudah difahami dan mesra pengguna sekali gus membuatkan kita tidak perlu menghabiskan masa yang lama untuk mempelajari teknik permainannya.

Cut The Rope: Magic di pelantar Android dan iOS dirangka untuk menampakkan kelainan pada siri asal yang kini sudah mencecah lima tahun pengeluarannya.

Seperti biasa, tugas anda ialah memotong tali untuk menjatuhkan gula-gula dan dihidangkan kepada Om Nom, maskot berwarna hijau yang sentiasa lapar.

Kali ini, selera Om Nom yang gilakan gula-gula membawanya ke dalam dunia magis tersorok di dalam buku cerita. Berita buruknya, terdapat pelbagai halangan berkuasa magis dalam dunia baru ini, namun gula-gula tetap ada untuk dimakan.

Transformasi berbeza

Seperti juga Cut The Rope 2, judul Magic ditambah baik sementara dikekalkan elemen fizik dalam siri asal. Selain menggunakan sistem ‘swipe’ untuk menjatuhkan gula-gula, Om Nom diberi kuasa magis untuk bertukar kepada bentuk haiwan berbeza dengan kelebihan tertentu.

Sebagai contoh, Om Nom berupaya bertukar menjadi burung untuk terbang mendapatkan gula-gula atau menjadi ikan yang boleh bergerak dalam air. Bezanya, Om Nom yang dulunya hanya menanti gula-gula kini boleh dikawal pergerakannya melalui transformasi disediakan.

Mekanisme ini menambahkan keseronokan dalam permainan kerana ia memaksa anda menjadi lebih kreatif untuk mengumpul tiga bintang sementara memastikan Om Nom mendapat habuannya dengan cara berbeza.

Kumpul bintang

Seperti dijangka dalam judul sebelumnya, teka-teki disediakan ternyata tidak mengecewakan. Seratus peringkat dalam lima bab berbeza disajikan kepada anda untuk mengenyangkan raksasa kecil ini.

Kumpul bintang untuk memenuhkan meter. Setiap koleksi bintang akan menghadiahkan kristal yang boleh digunakan untuk melawat dunia baru dan membeli klu.

Terdapat juga sistem tenaga dengan 10 minit masa menunggu. Ini bermakna anda boleh bermain lebih lima peringkat sebelum Om Nom kekenyangan. Dalam keadaan ini, anda tidak boleh akses mana-mana peringkat sehingga Om Nom kembali kelaparan.

Secara keseluruhannya, Zeptolab berani menghasilkan formula baru dalam francaisnya. Bagi peminat tegar, anda tidak perlu menunggu lama untuk merasai sendiri suasana magis dalam dunia gula-gula ini!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 10:51 AM