Gambar fail menunjukkan Maki Kaji ketika pertandingan Sudoku di Sao Paolo pada 2012. - FOTO AFP
Gambar fail menunjukkan Maki Kaji ketika pertandingan Sudoku di Sao Paolo pada 2012. - FOTO AFP
AFP

Tokyo: Lelaki yang digelar 'Bapa Sudoku' meninggal dunia pada 10 Ogos lalu selepas bertarung dengan kanser.

Menurut paparan di laman sesawang penerbitnya, Nikoli, majlis memperingati Maki Kaji, 69, akan diadakan dalam masa terdekat.

"Mendiang bertanggungjawab mempopularkan teka teki matematik, Sudoku, yang menjadi minat jutaan orang di serata dunia," katanya.

Sudoku adalah sejenis permainan atau teka teki silang nombor berasaskan matematik yang dicipta oleh pakar matematik Switzerland, Leonhard Euler, pada kurun ke-18.

Ada pihak mendakwa versi moden permainan itu dibangunkan di Amerika Syarikat (AS) tetapi Kaji bertanggungjawab mempopularkannya sehingga menjadi kegilaan global.

Malah, ungkapan Sudoku adalah ciptaan beliau, mirip kepada perkataan Jepun yang membawa makna 'setiap nombor mesti tunggal'.

Sudoku memerlukan seseorang meletakkan angka satu hingga sembilan dalam kotak mengandungi 81 kotak kecil, dengan memastikan tiada nombor yang sama dalam mana-mana barisan kotak yang melintang atau menegak.

Ia bertambah rumit kerana grid kotak besar berkenaan turut dibahagikan kepada sembilan blok kotak mengandungi sembilan kotak kecil di dalamnya, yang setiap satu daripadanya mesti diisi dengan angka antara satu hingga sembilan.

Walaupun nama Sudoku lebih popular, konsep asalnya dikenali sebagai Latin Squares yang diilhamkan Eular pada kurun ke-18 iaitu grid di mana setiap nombor atau simbol berlainan perlu dimuatkan hanya sekali dalam setiap baris.

Nikoli menemui salah satu versi permainan itu dalam sebuah majalah Amerika Syarikat (AS) sekitar 1980-an dan memperkenalkannya di Jepun, di mana lahirnya Sudoku.

Ia memasuki Eropah dan AS beberapa dekad selepas itu, dengan BBC Britain pada 2005 menerbitkan rencana mengenai teka-teki yang mula mendapat tempat di negara itu dan kini boleh ditemui dalam empat akhbar arus perdana.

Kaji memberitahu BBC pada 2007 bahawa mencipta teka-teki baharu adalah umpama 'menemui harta karun'.

"Ini bukan mengenai sama ada ia menguntungkan dari segi kewangan, sebaliknya lebih kepada keterujaan ketika cuba menyelesaikan teka-teki ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 8:00 PM