KAMARUDIN Mohd Hussain. FOTO Rizanizam Abdul Hamid
KAMARUDIN Mohd Hussain. FOTO Rizanizam Abdul Hamid
Oleh Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang (JBPTLK) memberi tempoh dua minggu kepada kerajaan untuk mengadakan rundingan membela nasib pemandu teksi dalam menangani masalah teksi sapu menggunakan aplikasi Uber dan GrabCar atau bakal mengadakan perhimpunan pemandu teksi siri kedua yang digambarkan lebih agresif berbanding perhimpunan hari ini.

Koordinator JBPTLK, Kamarudin Mohd Hussain berkata, pada perhimpuhan siri kedua itu mereka juga tidak bercadang meminta permit perhimpunan daripada polis sebaliknya bertindak ala 'koboi' dengan terus berhimpun di lokasi ditetapkan pada hari berkenaan.

"Malah, perhimpunan siri kedua itu juga mungkin lebih agresif berbanding hari ini jika kerajaan masih berdiam diri mengenai tuntutan kami meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dirombak kerana gagal mengatasi isu Uber dan GrabCar.

"Pada perhimpunan hari ini, pemandu teksi berarak dari Padang Merbok menuju ke Bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan namun kami kecewa apabila hanya wakil rakyat pembangkang yang tampil menerimanya," katanya kepada Harian Metro di sini hari ini.

Menurut Kamarudin, sehingga 3 petang tadi, beliau dan beberapa pemandu teksi masih menunggu kehadiran wakil kerajaan di Padang Merbok untuk menerima memorandum berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 3:55 PM