FIZA Frizzy
FIZA Frizzy
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pengacara Fiza Frizzy, 34, tidak pernah ambil tahu langsung mengenai komen-komen netizen terhadapnya, melainkan ada pihak lain berkongsi mengenai sesuatu perkara itu yang dibangkitkan di media sosial.

Fiza atau nama sebenarnya Nur Hafizah Md Saad, berkata setakat ini dia bersyukur apabila cara pengacaraannya tidak pernah lagi mencetuskan sensasi, selain gaya pemakaian ditampilkan dianggap kurang sesuai.

"Contohnya macam semalam (Ahad), ada orang beritahu gaya pemakaian saya dipersoalkan kerana saiz baju yang besar dan penuh berbunga-bunga selepas beberapa musim muncul mengacarakan GV LIVE +. Tapi, saya okeykan saja.

"Ini kerana, saya seorang yang tahan maki, tahan kecam dan suka biarkan orang nak cakap apa, umpama masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Sebabnya, saya memang malas nak layan," katanya sudah empat musim mengacarakan GV LIVE + di Gegar Vaganza (GV) sejak GV6.

Fiza yang turut aktif sebagai pengacara menjual produk di televisyen berkata, dia tidak memerlukan cerita sensasi yang bukan-bukan demi ingin lebih dikenali ramai serta mengumpul peminat.

"Saya hanya mahu diterima seadanya sebagai pengacara. Bagi saya, setiap orang yang mengacarakan sesuatu program itu ada gaya tersendiri. Jadi, kalau saya suka ketawa, cakap ada jerit-jerit sedikit, terimalah saya seadanya. Itu dah memang cara saya.

"Apapun, saya sentiasa berusaha sehabis baik menggalas tanggungjawab kerja yang diterima kerana amat mengutamakan keberkatan dalam rezeki. Ia penting, kerana rezeki yang saya cari untuk keluarga," katanya.

Fiza yang bakatnya dicungkil menerusi pencarian Projek Metro anjuran Harian Metro pada 2013 berkata, selama ini dia memang menjaga dirinya untuk tidak terkait dengan sebarang gosip sehingga berumah tangga.

Berkahwin dengan bekas pemain bola sepak Kuantan FA, Fazli Zulkifli, 40, pada 18 Februari 2018, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Mohd Faeeq Zuhayr, 4, dan Fah'd Shamel, setahun 5 bulan.

Malah, Fiza kini sarat hamil anak ketiga, tujuh bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 5:24 PM