JUAN (lima dari kanan) bersama Geetha dan Sharifah bekerjasama dengan pengelola Rumah Titian Kaseh serta sukarelawan Maggi memasak bubur lambuk untuk majlis berbuka puasa.
JUAN (lima dari kanan) bersama Geetha dan Sharifah bekerjasama dengan pengelola Rumah Titian Kaseh serta sukarelawan Maggi memasak bubur lambuk untuk majlis berbuka puasa.
Nurul Husna Mahmud


JENAMA mi segera ternama tempatan, Maggi berkongsi keceriaan Ramadan kali ini dengan meraikan penghuni Rumah Titian Kaseh (RTK) menerusi jamuan berbuka puasa yang menyajikan hidangan popular mereka iaitu bubur lambuk Maggi.

Lebih bermakna dalam program berbuka puasa itu ialah sajian bubur lambuk itu disediakan sendiri oleh sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Maggi dan Nestle Malaysia menerusi resipi istimewa cef jenama makanan itu.

Malah sukarelawan yang hadir turut menyantuni lebih 130 penghuni dengan sebahagian besarnya adalah kanak-kanak termasuklah orang kurang upaya dan ibu tunggal.

Menurut Pegawai Eksekutif Perniagaan Maggi, Nestle (Malaysia) Berhad, Geetha Balakrishna, penyertaan pihaknya dalam program berkenaan sebagai memori yang bermakna untuk disimpan oleh setiap sukarelawan selain amalan berkongsi rezeki dan keceriaan bersama golongan yang kurang bernasib baik dijalankan setiap tahun.

“Usaha memasak dan mengedarkan hidangan bubur lambuk yang berkhasiat ini mencerminkan usaha kami mewujudkan impak positif menerusi aktiviti masakan harian.

“Acara ini juga sudah menjadi acara Ramadan tahunan kami dan sangat berbangga untuk berkongsi keceriaan ini bersama RTK pada tahun ini.

“Kami berharap pengalaman ini akan menjadi kenangan istimewa buat mereka dan kami berdoa dikurniakan rezeki berpanjangan agar dapat menceriakan lebih ramai golongan yang memerlukan,” katanya.

KANAK-KANAK mendengar taklimat mengenai pemakanan secara interaktif oleh Nurul Iliani.
KANAK-KANAK mendengar taklimat mengenai pemakanan secara interaktif oleh Nurul Iliani.

Sukarelawan turut menganjurkan sesi gotong royong termasuk mengecat baharu bahagian dinding rumah amal terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif NestlÈ (Malaysia) Berhad Juan Aranols pula melahirkan rasa syukur dengan kesempatan dapat menyantuni warga RTK pada Ramadan kali ini.

“Ia amat bermakna bagi kami kerana dapat berbuka puasa bersama warga Rumah Titian Kaseh. Majlis ini memberi kami peluang untuk menyumbang kepada masyarakat dan kami amat bersyukur kerana dapat mengadakan jamuan berbuka puasa di rumah amal ini, bahkan diberi kesempatan untuk meluangkan masa bersama penghuninya,” katanya.

Sebalik kemewahan dan kemeriahan juadah disajikan, Nestle turut menyelitkan aspek terpenting iaitu memupuk amalan pemakanan yang baik menerusi sesi taklimat pemakanan interaktif dikendalikan Pengurus Pemakanan Kategorinya Nurul Iliani Ahmad.

Selain itu Nestle turut menganjurkan program kitar semula menerusi aktiviti membuat hiasan rumah menggunakan bahan kitar semula seperti bahan promosi, kotak kadbod dan botol plastik.

Kerjasama lain yang terjalin adalah Maggi akan membantu menjual bahan seni dan kraf yang dihasilkan daripada bahan kitar semula berkenaan. Hasil jualan akan disalurkan kepada RTK yang turut menjual biskut dan kuih sempena musim perayaan.

Sementara itu Pengasas rumah amal terbabit Sharifah Adlan berkata, pihaknya teruja dengan kunjungan sukarelawan Maggi dan Nestle yang sanggup meluangkan masa menyantuni penghuni rumah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 9:53 AM