Shuhada Mansor

Ketika Ramadan pasti ramai yang berwajah lesu. Lebih teruk apabila bukan hanya wajah tetapi bibir juga menjadi kering menggelupas. Gen Y kongsikan tip bagaimana anda boleh menyusun waktu minum air sehingga kuantiti cukup seperti diperlukan tubuh badan.

Pasti ramai yang tidak minum air seperti disarankan iaitu lapan gelas sehari. Antara sebabnya kerana terlalu muak banyak minum dalam jangka waktu pendek. Ini tipnya:

Dua gelas ketika sahur

Ketika bangun bersahur, usahakan untuk minum sekurang-kurangnya dua gelas air kosong. Selain banyak kelebihan minum air kosong, ada tip berguna lain untuk anda yang sukakan minuman mengandungi gula. Kurangkan minuman manis untuk elak kenaikan berat badan mendadak sepanjang bulan puasa.

Sebotol air sebelum tidur

Jika anda suka berjaga malam semata-mata untuk melayari Internet, apa kata curi peluang ini minum air sambil bersantai melayan komen di media sosial. Disarankan, bawa sebotol air kosong masuk ke bilik dan sekurang-kurangnya jika tertidur tanpa menghabiskannya, apabila terjaga pasti boleh minum kerana ada air di sisi anda.

Makan makanan kandungan air tinggi

Sekiranya anda ‘gilakan’ minuman berkarbonat, apa kata tukar selera dengan pemakanan lebih sihat. Buat jus daripada buah-buahan seperti tembikai. Lebih bagus kerana kandungan gulanya asli daripada buah.

Berbuka dengan kurma & dua gelas air

Tentu ramai tahu kita disaran berbuka dengan kurma terlebih dulu. Tetapi, tahukah anda kebaikan daripada tindakan ini? Ya, kurma mengandungi kadar glukosa semula jadi yang cukup tinggi serta kandungan nutrisi lainnya.

Kandungan gizi terdapat dalam kurma dapat membantu mengembalikan tenaga sepanjang kita berpuasa. Seterusnya, minum cuma dua gelas air untuk permulaan selepas berbuka, ia untuk menggantikan cairan yang hilang dalam tubuh badan sepanjang hari. Kuantiti air seterusnya diminum berkala sehingga berakhirnya waktu sahur.

Bawa bekal air

Tip tambahan, bawa bersama air di dalam botol sebagai bekalan dibawa ke masjid untuk solat Tarawih. Sekurang-kurangnya, jika waktu lain anda terlupa, anda boleh minum air ini untuk menjadikan tubuh sentiasa hidrasi sepanjang beberapa jam di masjid di samping menunaikan ibadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2016 @ 7:36 AM