PENDEBAT USIM (dari kiri) Adam Fikry, Muhammad Syafiq, Azka Annisa dan Anis Amirah bersama pensyarah melihat trofi kejuaraan.
PENDEBAT USIM (dari kiri) Adam Fikry, Muhammad Syafiq, Azka Annisa dan Anis Amirah bersama pensyarah melihat trofi kejuaraan.
Mohd Amin Jalil

Pendebat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul johan Debat Bahasa Arab Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ASEAN 2016 selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada pertandingan akhir di Dewan Kuliah Pusat 3, Kampus USIM, Nilai, baru-baru ini.

USIM yang bertindak sebagai pembangkang diwakili Muhammad Syafiq Suhaimi, 22, Azka Annisa Yusri Yurnalis, 23, Anis Amirah Zakaria, 23, dan Adam Fikry Bakru Rozi, 21, manakala UIAM dianggotai Muhammad Nurfirman Mohamed, 21, Nurul Rafah Syazwani Rahmat, 22, Nur Faiezah Mohamed, 22, dan Abdullah Aimanrusydi Abdullah, 24.

Debat bertajuk Menyediakan Kerusi Tetap kepada Negara-negara ASEAN di Majlis Keselamatan PBB lebih baik.”

Selaku johan, pendebat USIM membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, trofi dan sijil penghargaan manakala UIAM menerima RM3,000, trofi dan sijil penghargaan daripada Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.

USIM turut merangkul juara berganda apabila Azka Annisa yang juga penuntut tahun akhir Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dinobatkan pendebat terbaik dan menerima wang tunai RM500 berserta trofi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan pendebat dan jurulatih yang memberi kepercayaan serta membimbing saya.

“Ini pertandingan debat terakhir yang saya sertai dan puas hati dapat membantu USIM muncul juara,” katanya.

Dr Abdullah menyifatkan Ihtifal itu bukti kesungguhan dan kecintaan masyarakat dalam menjunjung budaya dan mengagungkan al-Quran.

Beliau yakin program itu dapat melahirkan masyarakat Islam berpe­ngetahuan, seterusnya melahirkan cendekiawan berlandaskan ilmu Naqli dan Aqli.

“Negara memerlukan generasi belia yang mempunyai kekuatan seperti yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketamadunan umat pada masa silam,” katanya.

Ihtifal IPT ASEAN 2016 turut disertai Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim, Riau, Pekan Baru (Indonesia) yang menguasai kategori qari dan qariah bagi Tilawah Al-Quran dan Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta muncul juara pertandingan nasyid.

Seramai 600 peserta daripada 26 universiti dari Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam me­nyertai pertandingan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:00 AM