DR Musa (tengah) bersama Dr Zulkiple (kiri) dan Muhammad Haizuan menunjukkan poster Majlis Konvokesyen USIM ke-14.
DR Musa (tengah) bersama Dr Zulkiple (kiri) dan Muhammad Haizuan menunjukkan poster Majlis Konvokesyen USIM ke-14.
Mohd Amin Jalil


Nilai: Seramai 2,517 graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menerima ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen USIM ke-14 bermula esok hingga Isnin ini.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Musa Ahmad berkata, 73 akan menerima PhD iaitu yang tertinggi berbanding tahun lalu seramai 34 orang manakala sarjana (132), sarjana muda (2,289) dan diploma (23).

Katanya, majlis tahun ini memperkenalkan Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) yang menjadi teras pendidikan USIM.

“USIM juga akan menyampaikan PhD kepada dua tokoh iaitu mantan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Datuk Dr Mohamed Asin Dollah yang menerima PhD Dakwah dan Pengurusan Islam serta bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang juga Felo Utama USIM, Datuk Faiza Tamby Chik (Syariah dan Undang-Undang).

“Sementara itu, ketokohan dan kesarjanaan Prof Puan Sri Dr Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dalam bidang kaunseling menyaksikan beliau menjadi wanita pertama menerima gelaran Profesor Emeritus dari universiti ini.

“Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM ini aktif dalam badan amal dan penulisan, selain menjadi ahli seumur hidup serta Felo Kehormat Persatuan Kaunselor Malaysia (PERKAMA),” katanya pada sidang media di Bangunan Canselori USIM, semalam.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor USIM (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Zulkiple Abd Ghani, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Pendaftar USIM, Muhammad Haizuan Rozali.

Sementara itu, Musa berkata, beberapa anugerah lain termasuk graduan cemerlang turut disampaikan antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor, Pingat Emas Canselor, Hadiah Buku Universiti dan Fakulti dan Anugerah Khas Kecemerlangan Muamalat.

Menurutnya, antara penerima anugerah utama ialah pasangan suami isteri rakyat Palestin, Ahmed R M Raddad, 33, dan Ayat Raddad, 28, yang menerima Anugerah Canselor serta Anugerah Fakulti.

Beliau berkata, istiadat pembukaan majlis itu akan disempurnakan Canselor USIM yang juga Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada sidang pertama, esok.

“Sidang terakhir majlis konvokesyen akan disempurnakan Pro-Canselor USIM yang juga Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

“Meneruskan tradisi, Pesta Konvokesyen USIM (C-FEST) dengan pelbagai aktiviti menarik turut dianjurkan bermula esok (hari ini) hingga 21 November ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 9:13 AM