Norhayati Nordin


Baru berusia 20 tahun, penyanyi dan komposer Sissy Iman Mohammad Kamil, 20, bersyukur bakat seninya sudah mendapat pengiktirafan.

Siapa sangka, Sissy yang giat membina karier nyanyiannya kini dipilih sebagai pemenang Lagu/OST Pilihan pada malam kemuncak Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL 2016) lalu.

Menerusi lagu Mungkin Kamu ciptaan sepenuhnya Sissy sendiri, single itu menjadi lagu tema untuk drama Eksperimen Cinta lakonan Fahrin Ahmad dan Izreen Azminda.

Dengan kemenangan itu juga, Sissy berjaya menewaskan empat lagu popular lain, Potret nyanyian Akim & The Majistreet untuk OST drama Dia Isteri Luar Biasa, Hidayahmu (Ippo Hafiz/ HidayahMu Ramadan), Terlalu Rindu (Eleena Harris/ Alaa Bib) dan Sorry-Sorry Sayang (Hello Mr Perfect).

Apapun, Sissy yang menuntut dalam jurusan Pendidikan Muzik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur berkata dia mula mencipta lagu ketika berusia 16 tahun.

“Saya sudah mempelajari muzik sejak kanak-kanak dan apabila usia meningkat remaja bakat itu dikembangkan kepada penciptaan lagu.

“Lagu Mungkin Kamu saya rakam ketika usia 18 tahun. Minat saya terhadap muzik sangat mendalam sebagai penyanyi dan komposer,” katanya.

Kini, Sissy muncul mempertaruhkan dua lagi lagu nyanyiannya iaitu Benar Ku Tak Bohong dan Entah Apa Rasa duet bersama Iza Bahra.

Sissy akui tidak pernah terfikir lagu ini juga dipilih menjadi OST drama. Katanya, dia suka berkarya terutama pada penciptaan lagu. Baginya, muzik sesuatu yang indah dan mampu menjadi terapi untuk menghiburkan orang lain.

“Enggan mensia-siakan bakat dimiliki membuatkan saya giat mencipta lagu berdasarkan apa saja ilham yang muncul secara tiba-tiba.

“Syukur, saya boleh mencipta lagu dalam apa saja situasi sama ada ketika hangat bercinta, putus kasih, kerohanian, kasih sayang dan alam sekitar,” katanya.

Bernaung di bawah syarikat rakaman Fantasia Music City (FMC), Sissy berkata dia gembira lagu Entah Apa Rasa turut menerima sambutan baik pendengar.

“Sebagai penyanyi baru, saya sangat terharu apabila lagu dinyanyikan mendapat maklum balas positif daripada pendengar dan pihak stesen radio.

“Tanpa sokongan pendengar temasuk ruang dan peluang diberikan stesen radio untuk memutarkan lagu saya, pasti saya takkan berada di tahap ini,” katanya.

Turut mengakui tidak kisah menyanyi secara solo, duet mahu pun berkumpulan, Sissy berkata dia mula menyanyi dengan menyertai koir.

“Ketika kanak-kanak saya pernah menyertai kumpulan koir dan pernah terbabit dalam pertandingan menyanyi hingga ke luar negara.

“Malah saya juga memiliki kemahiran bermain keyboard. Jadi, secara tidak langsung ia sangat membantu membina karier muzik saya,” katanya.

Sissy yang mempunyai hobi membaca buku berkata, menerusi pembacaan ternyata banyak membantu memudahkan dia berimaginasi dan mendapat ilham.

Menjadikan penghibur terkenal antarabangsa, Michael Buble sebagai idolanya, Sissy berkata dia amat menggemari muzik santai dan mudah didengar.

Bakal bergelar guru, Sissy berkata dia akan tetap meneruskan karier nyanyiannya dengan memastikan mampu membahagi masa secara teratur.

“Kejayaan takkan datang bergolek tanpa usaha. Jadi, saya percaya selagi berupaya mengatur masa dengan baik pasti segala urusan berjalan lancar.

“Apa yang pasti, segala yang saya lakukan mengikut kemampuan diri. Bagaimanapun, terima kasih kepada peminat yang sudi memberi sokongan,” katanya.

Selain giat menghasilkan lagu untuk nyanyian sendiri, Sissy juga sedia berkongsi karya seninya untuk dendangan penyanyi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 5:03 AM