Oleh Mohd Firdaus Hashim

Dushanbe (Tajikistan): Johor Darul Ta'zim (Johor DT) melakar sejarah baru dalam diari bola sepak negara apabila muncul juara Piala AFC dengan membenam FC Istiklol 1-0 di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan, malam tadi.

Perancangan Mario Gomez sebelum bermulanya aksi yang mahu skuad kendaliannya mencari gol awal tenyata menjadi.

Istiklol yang juga juara Liga Tajik musim lalu tidak menunggu lama untuk menguji Farizal Marlias namun percubaan leret penyerang tuan rumah Makhmudov Khurshead pada minit keenam itu berjaya ditepis Farizal buat menyelamatkan seketika kubu pelawat.

Tersentak dengan gerakan merbahaya tuan rumah, barisan pemain skuad Harimau Selatan cuba bangkit dengan percubaan ketua pasukannya Safiq Rahim yang melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti di minit ke-10, tapi ianya tepat ke arah penjaga gol Stosic Nikola buat mengagalkan usaha pemain kebangsaan itu.

Pada minit ke-14, penyokong tuan rumah hampa apabila percubaan Fathuhuloev Fathullo dibatalkan pengadil yang bijak mengesan tindakan pemain itu yang menggunakan tangan untuk menahan bola sebelum melepaskan sepakan.

Istiklol yang mendapat bimbingan jurulatih kebangsaan mereka, Ergashev Mubin, terus menguasai tempoh perlawanan dengan melakukan banyak gerakan-gerakan berbahaya ke kubu pelawat namun pertahanan Johor DT tenang mengawal keadaan.

Johor DT akhirnya berjaya mendahului pasukan tuan rumah menerusi jaringan Leandro Velazquez pada minit ke-23 selepas penyerang import dari Argentina itu melepaskan rembatan yang tepat menuju ke sasaran sekali gus menyentap perasaan penyokong tuan rumah yang senyap seketika.

Bersambung babak kedua, Istiklol merancakkan serangan ke arah gawang pelawat hingga memaksa kesemua pemain Johor DT turun bertahan.

Segala usaha tuan rumah untuk mencari gol penyamaan hampa dengan barisan pertahanan pelawat kental bertahan hingga ke wisel penamat buat wakil negara itu menang 1-0, sekali gus melakar sejarah baru dalam saingan Piala AFC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2015 @ 11:21 PM
TONTON perlawanan akhir di layar gergasi di Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin & Mohd Firdaus Hashim
TONTON perlawanan akhir di layar gergasi di Johor Bahru. FOTO Mohd Azren Jamaludin & Mohd Firdaus Hashim