Dushanbe: Ketangkasan dan kecekapan Mohd Farizal Marlias (gambar) dalam membendung asakan bertubi-tubi rangkaian penyerang FC Istiklol pada aksi final Piala AFC, memberi isyarat penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu masih layak untuk disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya.

Sepanjang 90 minit aksi di Stadium Central Republican, Dushanbe, Sabtu lalu, Farizal muncul antara watak penting dalam memastikan kejayaan Johor DT melakar sejarah gemilang menawan pentas Asia.

Bagaimanapun, menerusi senarai terbaru dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Khamis lalu, menyaksikan pengendali sementara negara Datuk Ong Kim Swee sekali lagi tidak menyenaraikannya bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 untuk bertemu Palestin di Stadium Dura di Hebron, 12 November ini.

Sebaliknya, Kim Swee masih menaruh kepercayaan terhadap tiga penjaga gol ketika menentang Timor Leste - Khairul Fahmi Che Mat, Khairul Azhan Khalid dan penjaga gol kedua Johor DT Izham Tarmizi Roslan.

“Bagi saya itu terpulang kepada jurulatih. Beliau yang menilai dan melihat aksi setiap pemain. Saya tak boleh cakap apa-apa, namun sekiranya diperlukan saya tiada masalah dan sedia terima kalau dipanggil.

“Sudah tentu, saya sentiasa bersedia dan terbuka. Kita nampak penjaga gol yang dipanggil juga hebat, mereka berada pada tahap terbaik masing-masing. Bagi saya kalau peluang itu hadir, saya tidak akan sia-siakan,” katanya ketika ditemui Arena Metro, di sini, kelmarin.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai jaringan tuan rumah yang dibatalkan pengadil pada masa kecederaan, Farizal mengakui situasi itu antara saat penting yang tidak akan dilupakannya.

“Dua gol awal bagi saya memang ofsaid. Tapi, gol terakhir itu saya tidak pasti ofsaid atau tidak.

“Masa bola itu masuk, saya agak kecewa, tapi apabila tengok ke tepi nampak penjaga garisan mengangkat bendera. Lega...”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2015 @ 8:31 AM