SAFAWI meledak rembatan kemenangan menewaskan Tajikistan di  Stadium Nasional, Bukit Jalil. - FOTO Bernama
SAFAWI meledak rembatan kemenangan menewaskan Tajikistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - FOTO Bernama
Firdaus Hashim


SKUAD Harimau Malaya meraih tonik berharga menjelang aksi wajib menang berdepan Thailand pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Khamis ini selepas menang 1-0 dalam aksi pemanas badan bertemu Tajikistan, sebentar tadi.

Kemenangan ke atas pasukan di ranking ke-116 dunia itu menyuntik keyakinan dan motivasi terbaik sebagai persediaan menentang skuad Gajah Perang yang menghuni ranking ke-109 berbanding Malaysia di kedudukan 158.

Bagaimanapun, aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil itu tampak dikuasai Tajikistan terutama 45 minit pertama yang menyaksikan tuan rumah hanya merekodkan satu percubaan dan dua sepakan penjuru untuk menceritakan betapa sukarnya peluang Malaysia bertemu Thailand nanti.

Kesilapan mudah masih dilakukan pemain negara seperti hantaran tidak kemas, kurang idea di bahagian tengah dan kelonggaran barisan pertahanan dilihat masih menghantui pasukan negara.

TAN Cheng Hoe
TAN Cheng Hoe

Bagaimanapun, segala kelemahan itu sudah pasti dicatat Cheng Hoe yang masih berbaki lima hari untuk mengatasinya.

Dalam aksi itu, Cheng Hoe merehatkan enam pemain utama dari skuad yang tewas 0-1 kepada Vietnam pada aksi ketiga kelayakan bulan lalu dengan Nor Azam Azih kembali mengisi bahagian tengah selepas disisihkan ekoran kecederaan buku lali sebelum ini.

Malah, posisi penjaga gol turut bertukar tangan dengan Khairulazhan Khalid diberi tanggungjawab dan Aidil Zafuan Abd Radzak diamanahkan memakai lilitan 'amben' bagi menggantikan Farizal Marlias.

Pelawat yang akan terbang ke Myanmar bagi menempuh aksi keempat kelayakan hampir menembusi gawang negara menerusi percubaan Alisher Dzhalilov pada minit ke-18 namun sempat ditepis Khairulazhan.

Kubu tuan rumah diuji lagi dan kali ini tendangan Dzhalilov sedikit melambung buat melegakan benteng negara di minit ke-29.

Bersambung babak kedua, pelawat terpaksa beraksi 10 pemain apabila penjaga golnya Rustam Yatimov dibuang padang seawal minit ke-46 selepas menampan bola di luar kotak penalti.

Cheng Hoe membuat beberapa pertukaran dengan memasukkan Brendan Gan, Safawi Rasid dan Norshahrul Idlan Talah bagi menambah tekanan di jentera hadapan.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila pemain terbaik perlawanan akhir final Piala Malaysia iaitu Safawi berjaya meledak gol hasil tendangan kaki kiri di minit 62.

Keputusan 1-0 itu kekal hingga wisel penamat sekaligus menebus kekalahan lima tahun lalu di mana skuad negara tewas 1-4 kepada lawan sama dalam aksi persahabatan di Dushanbe, Tajikistan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 10:52 PM