FORKEY Doe (kanan) tambah derita PQPTRW.
FORKEY Doe (kanan) tambah derita PQPTRW.

Maran: FELDA United kekal selesa sebagai pendahulu Liga Super apabila menewaskan Kelantan 2-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, malam tadi.

Selepas corak permainan seimbang ditunjukkan kedua-dua pasukan pada awal babak pertama, pasukan pelawat hampir mencemaskan tuan rumah pada minit ke-12 tetapi percubaan pemain import Blazhe Ilioski tepat ke dakapan penjaga gol The Fighters, Farizal Harun.

Skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) hampir memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-22 tetapi rembatan kencang Wan Zahrulnizam Wan Zakaria dari luar kotak penalti dapat diselamatkan Farizal.

Tersentak dengan dua percubaan pelawat itu, pemain import tuan rumah Zahrahan Krangar hampir meletakkan FELDA United di depan pada minit ke-23 dan ke-28, namun kedua-dua sepakannya melambung tinggi.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim membuat asakan bertubi-tubi ke gawang lawan dan hampir memperoleh gol pendahuluan tetapi sepakan Francis Forkey Doe dari dalam kotak penalti pada minit ke-38 tersasar ke kiri.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga lima minit terakhir separuh masa pertama untuk berada di depan apabila Lutfulla Turaev menghukum kealpaan pertahanan pelawat untuk meledak gol pendahuluan The Fighters.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menambah derita pelawat apabila Doe menanduk masuk hantaran Turaev pada minit ke-50 untuk menghadiahkan gol kedua FELDA United.

Skuad bimbingan K Devan yang terdesak untuk meledak gol sulung cuba bangkit dengan mengatur beberapa gerakan berbahaya namun percubaan Brendan Gan pada minit ke-77 di depan gawang tuan rumah sekadar terkena tiang.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 9:11 AM