AKSI antara Al Nassr dan Istiklol pagi tadi. FOTO Ihsan AFC Champion League
AKSI antara Al Nassr dan Istiklol pagi tadi. FOTO Ihsan AFC Champion League
AFP

Dubai: Al Nassr merehatkan Cristiano Ronaldo dan meletakkan majoriti bintang import mereka di bangku simpanan ketika mereka menamatkan kempen kumpulan Liga Juara-Juara Asia dengan keputusan seri 1-1 di Istiklol pagi tadi.

Kelab Arab Saudi itu, yang ingin bangkit daripada kekalahan Liga Pro Saudi kepada musuh ketat, Al Hilal, sudah layak ke peringkat kalah mati sebagai juara Kumpulan E.

Selepas mengesahkan slot ke pusingan kalah mati dengan baki satu perlawanan, pengurus Nassr, Luis Castro memilih untuk mengetepikan Ronaldo daripada perlawanan di Dushanbe, manakala dia menyenaraikan Sadio Mane, Aymeric Laporte, Otavio dan Anderson Talisca di bangku simpanan.

Istiklol mendahului di Stadium Pamir sejurus selepas setengah jam perlawanan berlangsung apabila pemain tengah, Alisher Dzhalilov melepaskan rembatan ke bahagian sudut bawah.

Tuan rumah, yang belum menang dalam saingan musim ini, mengharapkan tiga mata untuk mengangkat mereka dari tangga terbawah kumpulan.

Bagaimanapun, Abdulrahman Ghareeb menyamakan kedudukan lima minit sebelum rehat, pemain sayap Nassr itu menyempurnakan sepakan voli jarak dekat pada kali kedua selepas percubaan awal diselamatkan penjaga gol Istiklol, Rustam Yatimov.

Castro memasukkan Talisca, penjaring kedua terbanyak Nassr musim ini di belakang Ronaldo, pada minit ke-74, dan pemain tengah Ivory Coast, Seko Fofana dan pemain sayap Portugal, Otavio pada lewat permainan namun pelawat tidak dapat menghasilkan kemenangan.

Nassr menamatkan peringkat kumpulan tanpa kalah, dengan empat kemenangan dan dua seri.

Dalam perlawanan lain kumpulan itu, Al Duhail dari Qatar menamatkan peluang Persepolis untuk layak dengan mencatat kemenangan 2-1 di Stadium Azadi di Tehran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 1:21 PM