MEDIA Prima menerima pengiktirafan Pengurusan Tadbir Urus Korporat Terbaik.
MEDIA Prima menerima pengiktirafan Pengurusan Tadbir Urus Korporat Terbaik.

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad, syarikat pelaburan media bersepadu terunggul di Malaysia menerima pengiktirafan Pengurusan Tadbir Urus Korporat Terbaik menerusi kategori media Asia oleh Ethical Boardroom, di sini, baru-baru ini.

Ethical Boardroom yang mengumumkan keputusan melalui laman webnya berkata, anugerah itu diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada kepemimpinan cemerlang yang dipamerkan oleh Lembaga Pengarah syarikat tersenarai yang telah mempertingkatkan tahap pengurusan tadbir urus korporat bagi melindungi dan meningkatkan nilai jangka masa panjang semua pemegang saham.

Laporan pengumuman itu menyebut, Malaysia telah mengambil langkah mempertingkatkan tahap aspek berkaitan sekali gus tersenarai dalam kelompok teratas dalam kalangan negara membangun, malah Malaysia mempunyai kekuatan dalam garis panduan dan polisi bagi menggalakkan diversiti.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri FD Iskandar berkata, penganugerahan itu adalah hasil komitmen syarikat dalam memastikan standard pengurusan tadbir urus korporat tertinggi serta pelaksanaan amalan terbaik global dalam segala aspek perniagaan kumpulan.

“Kami sentiasa menerapkan nilai integriti dan ketelusan dalam usaha berterusan untuk meningkatkan hasil kepada semua pemegang saham syarikat,” katanya.

Selain itu, kumpulan terbabit juga merangkul pengiktirafan melalui kategori Pendedahan dan Ketelusan Terbaik, Hubungan Pelabur Terbaik dan memenangi tempat kedua untuk Tadbir Urus Korporat Terbaik Keseluruhan di Malaysia oleh AsiaMoney Corporate Governance Poll 2014.

Malah, Media Prima turut tersenarai dalam 10 syarikat teratas di Malaysia yang mempunyai Pendedahan Terbaik oleh Badan Pengawasan Pemegang Saham Minoriti (MSWG).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 6:19 AM