PENGERUSI Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (kiri) mengiringi Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (dua dari kanan) meninjau Bahagian Berita TV ketika lawatan khas ke Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
PENGERUSI Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid (kiri) mengiringi Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko (dua dari kanan) meninjau Bahagian Berita TV ketika lawatan khas ke Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
Oleh Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) terus melakar kejayaan apabila diiktiraf sebagai Company of The Year kategori media dalam Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023.

Anugerah itu diadakan pada 26 Julai lalu dengan penyampaian disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri selaku tetamu kehormat.

Menurut panel penilai anugerah, Media Prima dipilih menerima anugerah berkenaan kerana membuat sumbangan sosial yang bermakna khususnya kepada rakyat di negara ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, pihaknya akan terus memenuhi tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif komuniti yang memberi impak positif kepada kehidupan rakyat negara ini.

"Media Prima amat bersyukur di atas pengiktirafan yang diterima ini sebagai tanda komitmen kami untuk mencipta impak positif yang berkekalan.

"Sejak 1991, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP, satu inisiatif tanggungjawab sosial Kumpulan, berfungsi sebagai platform bagi individu dan syarikat untuk menyumbang kepada tujuan penting di dalam dan luar negara.

"Media Prima melalui platform media yang bersepadu meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai tujuan untuk menggalakkan sumbangan.

"Tahun lalu, tabung itu memberi manfaat kepada lebih 11,000 individu di seluruh negara dan tahun ini, Media Prima turut menyalurkan bantuan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu komuniti yang terkesan oleh konflik kemanusiaan di Palestin dan Myanmar," katanya dalam kenyataan, semalam.

Anugerah Kelestarian dan CSR Malaysia 2023 dianjurkan oleh CSR Malaysia, projek sosial dan penerbitan yang bertujuan untuk berkongsi komitmen teguh oleh syarikat di negara ini kepada masyarakat secara menyeluruh dan berperanan penting sebagai agen perubahan dalam transformasi sosio ekonomi negara.

CSR Malaysia menganjurkan anugerah itu secara tahunan dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) bagi menghargai syarikat berprestasi cemerlang.

Pengiktirafan dari CSR Malaysia adalah anugerah ketiga Media Prima bagi amalan Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang baik sejak tahun 2022.

Terdahulu, Media Prima menerima Anugerah Perak di The Edge ESG Awards 2022 dan 'Anugerah Kecemerlangan Industri untuk Pendedahan Tadbir Urus Korporat (CG)' di Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN 2021 yang dianjurkan oleh Kumpulan Pemantau Saham Minoriti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 9:56 AM