Kuala Lumpur: Tadbir urus korporat yang baik bukan sekadar dibuktikan dengan kejayaan mahupun anugerah tetapi menerusi penerapan nilai dan contoh kepemimpinan terbaik daripada pengarah syarikat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga berjaya meningkatkan tadbir urus meliputi pelaksanaan pemilihan mandatori serta pendedahan latihan kepada pengarah syarikat.

Katanya, kerajaan juga turut meningkatkan tahap tindakan penguatkuasaan menerusi beberapa kes pertuduhan di mahkamah.

“Tadbir urus yang baik tidak hanya membabitkan penetapan peraturan, memperoleh anugerah serta mencapai kejayaan.

“Di Malaysia, kita berjaya meningkatkan tadbir urus korporat bermula dari pelaksanaan pemilihan mandatori dan latihan kepada pengarah.

“Kita juga memperbaiki penguatkuasaan dan berjaya membawa kes pertuduhan salah laku syarikat serta membuat teguran terhadap pengarah, syarikat tersenarai dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

“Namun, penambahbaikan ini tidak menjamin kepada urus tadbir korporat berstandard tinggi mahupun membendung jenayah kolar putih,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Indeks dan Penemuan Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN 2014, di sini, malam semalam.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Pengerusi Badan Pengawas Pemegang Saham Minoriti Berhad (MSWG) Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Datuk Ranjit Singh dan Pengerusi Bursa Malaysia Berhad Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.

Sempena majlis itu, Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Axiata Group Berhad Datuk Seri Jamaludin Ibrahim diumumkan penerima Anugerah “CEO of The Year.”

Manakala Telekom Malaysia Berhad pula diumumkan pemenang bagi kategori Pengiktirafan Ketelusan Terbaik.

Selain itu, Muhyiddin berkata, paling penting ialah penerapan budaya dan amalan baik dalam tadbir urus korporat dimulakan daripada pemimpin atasan.

“Usaha menambah baik tadbir urus korporat bukan usaha yang boleh dilakukan bersendirian kerana tanggungjawab itu dikongsi semua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 7:37 AM