ISMEE
ISMEE
myMetro

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB), syarikat media bersepadu terbesar mengumumkan peletakan jawatan Datuk Seri FD Iskandar, 49, sebagai Pengerusi Kumpulannya berkuat kuasa 31 Julai ini selepas menyandang beberapa jawatan dalam kumpulan sejak 2009.

Pengumuman itu dibuat susulan keputusan beliau menarik diri untuk memberi tumpuan terhadap tanggungjawab perniagaan dan persatuan lain.

Berikutan peletakan jawatan itu, Lembaga Pengarah MPB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih terhadap kepimpinan, dedikasi dan sumbangan beliau terhadap kumpulan ketika beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kumpulan serta Jawatankuasa Pencalonan dan Ganjaran.

Beliau pernah menganggotai Lembaga Pengarah The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dari 2009 hingga 2015.

Ketika menjadi ahli Lembaga Pengarah NSTP, FD Iskandar menjadi penasihat kepada pengurusan mengenai inisiatif pemulihan perniagaan syarikat yang membawa kepada penambahbaikan prestasi.

Di Media Prima pula, beliau membimbing usaha transformasi kumpulan termasuk inisiatif menjana sumber pendapatan baru seperti pelancaran program perniagaan membeli-belah di rumah MPB dengan usaha digital utama lain.

Beliau terbabit dalam pemerolehan REV Asia Holdings Sdn Bhd dan Copyright Laureate Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Kool FM Radio Sdn Bhd).

Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, MPB diberi pelbagai pengiktirafan atas komitmen kukuh dalam tadbir urus korporat termasuk sebagai Syarikat Tadbir Urus Terbaik 2016 (Permodalan Kecil) di 13 pasaran Asia oleh Asiamoney.

Anugerah lain ialah Tadbir Urus Korporat Terbaik (Syarikat Media) di Asia oleh Etika Boardroom UK dan Media Tahunan Komanwel oleh Rangkaian Perniagaan Wanita Komanwel pada 2015.

FD Iskandar berkata, peluang berkhidmat di MPB dan anak syarikat adalah satu penghormatan baginya dan percaya ia masa yang tepat memberi peluang kepada pengarah generasi baru untuk membentuk dan memacu kumpulan ke hadapan terutama pada masa-masa yang mengujakan ini.

Susulan peletakan jawatan itu, MPB mengumumkan pelantikan Tan Sri Ismee Ismail, 52, sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Kumpulan MPB berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Ismee adalah seorang tokoh perniagaan yang begitu dihormati dan berpengalaman luas dalam sektor perniagaan dan kewangan serta dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah MPB pada 1 Jun 2017.

Beliau sebelum ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) dari 2006 hingga 2016.

Beliau memulakan kerjaya sebagai akauntan pengurusan di Arab Malaysian Development Berhad dan berkhidmat dalam beberapa jawatan kepemimpinan utama dengan kumpulan syarikat Shell di Malaysia termasuk sebagai Ketua Forex dan Perbankan di Shell Malaysia Ltd dan Akauntan Kumpulan di Shell Malaysia Trading Sdn Bhd.

Selain itu, beliau terbabit dalam penubuhan Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dan berkhidmat sebagai Ketua Akauntan/Bendahari sebelum menyertai Medical Online (M) Sdn Bhd sebagai Naib Presiden Kanan.

Beliau kini Timbalan Pengerusi TH Plantations Berhad. Beliau juga berkhidmat di beberapa syarikat swasta yang terbabit dalam industri hartanah dan hospitaliti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 4:49 AM