KOLEKS Orked & Maysaa berunsur klasik dan kontemporari chic.
KOLEKS Orked & Maysaa berunsur klasik dan kontemporari chic.
AZLINA di Butik Orked & Maysa miliknya.
AZLINA di Butik Orked & Maysa miliknya.
AZLINA teroka dunia kreativiti.
AZLINA teroka dunia kreativiti.

Basyar Mustapha menemui usahawan muda yang ada nilai estetik sendiri.

Menaiki tangga ke sebuah butik dinamakan Orked & Maysaa, lukisan conteng pada dinding menarik perhatian seakan-akan mengalu-alukan kedatangan. ‘Kreatif!’ mungkin diskripsi terpacul dari mulut mereka yang melihat lukisan berkenaan juga konsep butik di Seksyen 16, Shah Alam, Selangor itu.

Kreativiti juga sebati dalam diri seorang usahawan muda yang juga pengasas butik Orked & Maysaa Tuan Noor Azlina Tuan Hamzah, 26.

Bermula sebagai seorang pereka dalaman, anak kelahiran Kuantan, Pahang ini kini bergiat aktif dalam dunia perniagaan pakaian dan fesyen.

Mempunyai ijazah dalam bidang rekaan dalaman, Azlina mendapat inspirasi memulakan perniagaan dan jenama sendiri selepas melawat sebuah butik di Bali, Indonesia.

“Saya memang terfikir mahu memulakan perniagaan sendiri, namun tidak begitu pasti mengenainya.

“Semasa pergi ke sebuah butik di Bali, saya jatuh cinta dengan konsep dan perniagaan butik berkenaan dan ingin­ membawa jenama itu ke sini, namun agak sukar dan tidak begitu sesuai.

“Namun semangat saya masih tinggi dan terfikir ada baiknya membuat jenama sendiri untuk perniagaan yang mahu dilakukan.

“Fesyen dan pakaian memang menjadi minat saya dan ia satu prospek yang bagus untuk memulakan perniagaan sendiri. Selepas melakukan kajian dan meminta pandangan kenalan, saya memulakan Orked & Maysaa,” katanya.

Jenama Orked & Maysaa satu jenama pakaian yang fokus menyediakan helaian kontemporari dengan unsur klasik, satu konsep mendapat perhatian pencinta fesyen ketika ini.

“Saya sangat mementingkan kualiti dan keunikan untuk baju Orked & Maysaa malah kain digunakan daripada kualiti baik yang saya cari sendiri di beberapa negara jiran yang terkenal de­ngan kualiti fabrik mereka.

“Kebanyakan baju kami sesuai dipakai untuk mereka yang berhijab atau tidak, ia sopan, namun masih lagi trendy dan ‘fashionable’,” kata Azlina yang mereka sendiri rekaan dalaman butiknya.

Dalam memasarkan rekaan, Orked & Maysaa kini giat memasuki jualan karnival di luar butik selain secara dalam talian. Melalui jualan di luar butik ini Azlina dapat mengenali dan beramah mesra dengan pelanggan yang banyak menyokong jenama itu.

Walau sudah setahun gadis cantik ini berniaga pakaian, dunia rekaan dalaman tidak pernah dilupakannya.

“Rekaan dalaman menjadi titik tolak karier saya dan tidak terniat meninggalkannya. Saya juga sibuk bertemu klien untuk projek hiasan dalaman di bawah syarikat hiasan dalaman Create Space Iterior yang ditubuhkan bersama seorang rakan.

“Sememangnya banyak cabaran dan kerja yang perlu dibuat apatah lagi kini saya juga sibuk untuk mengeluarkan koleksi pakaian terbaru, namun ia menjadi minat saya dan mahu meneroka dan kongsikan kreativiti bersama individu lain di luar sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 1:14 PM