60 jenis rekaan lelaki dan perempuan disediakan sempena lebaran.
60 jenis rekaan lelaki dan perempuan disediakan sempena lebaran.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Sempena ketibaan Aidilfitri, pasti ramai yang tercari-cari pakaian untuk digayakan. Pelbagai pilihan yang disediakan oleh banyak butik tanah air tidak menyukarkan wanita dan lelaki memilih rekaan yang dimahukan.

Koleksi butik His & Her misalnya tidak ketinggalan menyediakan 60 jenis rekaan lelaki dan perempuan yang sedondon.

Memilih konsep moden dengan sentuhan tradisional, koleksi sulung butik ini mengekalkan elemen Melayu klasik.

Menurut Hairul dan Hanis Zalikha yang juga Ketua Pengarah Kreatif bagi His & Her, mereka ingin menubuhkan jenama fesyen yang menyediakan pakaian sedondon di samping mengekalkan fesyen yang sentiasa terkini dan praktikal.

Memahami kehendak semasa, koleksi ini juga menyediakan baju bersaiz besar buat mereka yang ingin tampak segak menjelang lebaran nanti.

Si penggemar fesyen wanita mempunyai pilihan yang terdiri daripada baju kurung moden, jubah dan kebaya. Bagi ibu yang menyusukan bayi juga tidak perlu gusar kerana koleksi wanita His & Her mesra penyusuan.

Bagi si jejaka pula yang ingin kelihatan segak bergaya pada hari lebaran ini, baju Melayu dan jubah pilihan yang ideal.

Elemen klasik dalam setiap rekaan terserlah dengan penggunaan material campuran satin santana selari dengan peredaran fesyen terkini.

Perincian renda, manik dan manik kristal digunakan dalam setiap rekaan baju wanita. Jahitan baju Melayu cekak musang dan teluk belanga yang kemas dan rapi menyerlah susuk tubuh pemakainya.

Menurut Hanis, memiliki jenama pakaian sendiri menjadi impiannya sejak sekian lama dan melihat ia menjadi kenyataan bagaikan bulan jatuh ke riba.

“Saya amat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang ini dan dapat berkerjasama dengan Hairul sebagai rakan kongsi, ia membuatkan perniagaan ini lebih menarik,” katanya.

Ingin melihat ramai pasangan memakai koleksi ini, pilihan rona pastel dan tanah yang dipilih bersesuaian bagi semua ton warna kulit.

Mengikuti cita rasa moden masa kini, koleksi pakaian sedondon ini diharap dapat mengekalkan standard baru dalam industri fesyen tanah air.

Harga pakaian wanita bermula daripada RM250 hingga RM330, manakala pakaian lelaki pula bermula daripada RM200 hingga RM250.

Koleksi ini boleh didapati pada hujung Mei 2016 melalui stokis sah di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2016 @ 5:00 AM