PELANGGAN dapat mencuba dan merasa sendiri kualiti produk yang ditawarkan.
PELANGGAN dapat mencuba dan merasa sendiri kualiti produk yang ditawarkan.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Konsep butik vendor yang diperkenalkan beberapa tahun lalu mendapat tempat dalam kalangan peniaga terutama yang baru bertapak dalam perniagaan seperti fesyen, aksesori mahupun makanan ringan.

Ia memberikan peluang mempromosi produk dan membantu usahawan baru serta sedia ada terutama yang berniaga secara dalam talian memasarkan produk mereka tanpa perlu mengeluarkan modal tinggi untuk menyewa lokasi strategik.

Bagi merancak dan meningkatkan lagi kedudukan peniaga dalam talian, pengusaha butik vendor memberikan komitmen dari pelbagai aspek termasuk merancang pemasaran menggunakan medium sosial, membuat laporan jualan pada setiap hujung bulan dan sebagainya bagi melonjak kedudukan jenama bertapak di bawah bumbung miliknya.

Atas inisiatif itu, Mohd Nor Nizam Baharudin dan isteri Norazura Md Posdzi, nekad memulakan perniagaan butik vendor pada 2015 bagi menyediakan platform kepada peniaga lain memasarkan produk mereka di satu tempat, sekali gus memberi banyak pilihan kepada pelanggan.

Mohd Nor Nizam berkata, penubuhan butik dinamakan Gondola31 itu menempatkan lebih 50 produk tempatan dengan cara mudah dan menjimatkan masa di butik yang cukup selesa untuk kunjungan umum.

PELBAGAI koleksi rekaan terkini jenama terkenal dalam satu bumbung.
PELBAGAI koleksi rekaan terkini jenama terkenal dalam satu bumbung.

Katanya, butik sehenti itu juga tampil sebagai vendor terbesar di Perak memenuhi kehendak penggemar fesyen yang sentiasa mencari kelainan dalam soal penggayaan tanpa perlu membuang banyak masa.

Butik itu bukan saja membekalkan transaksi pembelian cukup memberangsangkan, tetapi menawarkan kelainan konsep hiasan dalaman bagi memberikan kepuasan dan keselesaan kepada pelanggan.

“Menyedari permintaan pasaran fesyen semakin pantas, kami ingin bergerak seiringan bagi membekalkan perkhidmatan pembelian dan konsep jualan lebih efektif.

“Di sini, ia memberi peluang kepada penggemar butik dalam talian untuk mencuba koleksi terkini yang ingin dibeli mereka tanpa sebarang keraguan.

“Menariknya, butik vendor yang pertama dibuka di kawasan ini tiga tahun lalu memenuhi kehendak penggemar fesyen yang selama ini hanya dapat berurusan dan membeli secara dalam talian,” katanya.

Mohd Nor Nizam berkata, antara butik dalam talian terkenal yang menempatkan koleksi jenama mereka di sini adalah Jannahnoe, Jubahsouq, Bellaammara, Ainahariz, Farraly, Cotton Metaphore, Mumuscarves dan Chenta Qaseh.

Katanya, butik vendor diketengahkan itu menyasarkan pelbagai keperluan fesyen sama ada tudung, blaus, jubah, gaun hingga aksesori untuk wanita dan pakaian seperti jubah untuk lelaki.

KOLEKSI pakaian bayi dan kanak-kanak turut disediakan
KOLEKSI pakaian bayi dan kanak-kanak turut disediakan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 7:00 AM