PENONTON sebelum ini tertanya-tanya nasib Amir dalam GV selepas penahanan Khamis lalu.
PENONTON sebelum ini tertanya-tanya nasib Amir dalam GV selepas penahanan Khamis lalu.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Selain persembahan artis yang mantap, skrip dan naratif Gegar Vaganza (GV) 2015 minggu kedua yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam kelmarin semakin menarik.

Sudah tentunya tumpuan diberikan kepada Amir Ukays kerana pada Khamis lalu penyanyi yang popular dengan lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu itu ditahan polis pada jam 1.45 pagi kerana memiliki sepucuk pistol tiruan.

Amir bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada jam lima petang hari yang sama. Namun pengurusan Astro mengunci mulut mengenai nasib Amir serta meminta peminat menonton GV bagi mengetahui sama ada Amir dapat meneruskan pertandingan atau digugurkan.

Penyanyi berusia 46 tahun itu tampil di atas pentas sebagai peserta ke-10 menyampaikan lagu Hujan Dan Airmata dengan penuh perasaan.

Kemunculannya disambut tepukan gemuruh serta sorakan penyokongnya. Ia sekali gus membuktikan Amir dikekalkan dalam pertandingan yang menjadi fenomena ini.

Sebelum itu, pembuka pentas GV dimeriahkan de­ngan persembahan Raja Gelek, Datuk M Daud Kilau menerusi lagu Cek Mek Molek.

Persembahannya berjaya menghangatkan suasana biarpun sebenarnya penyanyi ini kelihatan uzur ketika berjalan ke tempat juri sebagai juri jemputan.

Semangat beliau sewajarnya dipuji kerana berusaha memberikan yang terbaik.

Bagi minggu kedua ini, tema Aku dan lagu diketengahkan apabila peserta menyampaikan lagu artis yang mempunyai kenangan di sebaliknya.

Nampak mudah, tetapi ada juga antara peserta gagal me­nyanyikan lagu yang diberikan dengan baik dan dikritik juri antaranya Zul Handy Black ditegur Datuk Khadijah Ibrahim kerana nyanyian agak sumbang ketika permulaan lagu Sendiri yang pernah dipopularkan kumpulan May.

Berbeza pula dengan Ezad Lazim yang menerima pujian Datuk Ramli MS apabila menyanyikan lagu Butakah Cinta nyanyian asal kumpulan Spring.

Kejutan turut dilakukan selepas Ezad menyanyi apabila Rahmat Mega, insan yang bertanggungjawab mengesan bakatnya ketika menyampaikan lagu sama dalam satu pertandingan di Kedah turut memberikan komen.

Seperti biasa, GV dimeriahkan dengan lawak spontan Nabil dan Jihan yang sering menyakat Ramli sekali gus menjadikan auditorium MBSA gamat dengan sorakan.

Tiada penyingkiran dilakukan pada minggu ini apabila semua 12 peserta layak beraksi minggu seterusnya yang menampilkan tema 360 Darjah. Menerusi tema itu mereka terpaksa keluar daripada zon selesa apabila dikehendaki menyanyikan lagu yang bertentangan dengan cita rasa masing-masing.

Pengurus Saluran Astro Ria Raqim Ahmad berkata keputusan mengekalkan semua peserta diambil kerana semuanya menunjukkan persembahan yang meyakinkan.

“Selepas berbincang dengan juri, kami ambil keputusan ini. Ramai peminat hadir dan pastinya belum puas melihat artis pujaan mereka beraksi.

“Minggu ketiga tampil dengan tema berbeza dan inilah minggu yang terbaik untuk penyingkiran kerana kita dapat lihat kemampuan sebenar peserta.

“Kami terkejut auditorium ini padat dengan peminat, namun untuk tukar lokasi adalah sesuatu yang mustahil. Pun begitu, untuk pentas akhir mungkin kami akan fikirkan lokasi lebih sesuai. Boleh jadi akan dilakukan di sini juga,” katanya.

Mengulas mengenai jenaka Nabil yang dirasakan keterlaluan oleh segelintir pihak, Raqim berkata mereka sering menasihatinya supaya berhati-hati terutama membabit­kan fizikal seseorang.

“Itulah sebabnya kami wujudkan ayat tapis kerana mahu ingatkan dia. Saya memang tak setuju dia bergurau mengenai fizikal seseorang,” katanya.

Sementara itu, Amir yang dikerumuni wartawan pada sidang media sebaik acara selesai, dilihat berhati-hati mengulas isu penangkapan­nya Khamis lalu.

“Kes masih dalam siasatan dan saya bagi kerjasama penuh kepada polis. Mereka juga percaya keterangan yang diberikan dan akhir­nya membebaskan saya.

“Saya tak nak komen lebih-lebih kerana bimbang mengganggu siasatan polis. Cuma saya nak jelaskan saya tak takut berdepan masyarakat kerana berada di pihak yang benar.

“Saya artis yang menghiburkan semua dan bukan buat benda tak elok. Itulah sebabnya saya mengaku pistol itu milik saya. Cuma saya tak sangka perkara ini berlaku ketika saya ada dalam kereta di kawasan perumahan sambil mendengar lagu Hujan dan Air Mata. Saya bukan nak merompak, curi motosikal atau buat benda tak elok,” katanya.

Amir mengakui terkesan dengan peristiwa itu hingga meng­ganggu tumpuannya ketika sesi latihan penuh pada Sabtu lalu.

“Saya tak boleh tahan dan menangis. Apatah lagi lagu ini kisah berkaitan arwah anak saya, Mohd Imran yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 2012.

“Syukur saya dapat tahan air mata ketika menyanyi. Saya kuat dengan sokongan keluarga dan peminat,” katanya yang akan menyanyikan lagu Yang Sedang Sedang Saja, nyanyian asal Iwan pada minggu ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 12:25 PM