Penampilan Amir Uk's ketika membuat persembahan Konsert Lagenda sempena Tahun Baru di Datum Jelatek. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Penampilan Amir Uk's ketika membuat persembahan Konsert Lagenda sempena Tahun Baru di Datum Jelatek. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan UK's, Amir sudah tidak mempunyai jawapan apabila terdapat beberapa pihak menggunakan nama yang sama dengan kumpulannya ketika ini.

Amir berkata, peminat juga sudah tahu UK's mempunyai tiga kumpulan dengan ejaan berbeza, namun dengan sebutan yang sama.

"Saya dah tak tahu nak cakap macam mana lagi. Nak halang pun dah tiada daya dan kuasa. Jadi. biarlah mereka dengan cara mereka. Tak boleh nak buat apa.

"Yang kelakarnya, setiap kali pergi 'show' mereka tetap nak menyanyikan lagu nyanyian saya. Jadi, bergantung kepada peminat sama ada boleh terima atau sebaliknya. Pernah juga berlaku peminat sangka saya yang beraksi tetapi rupa-rupanya UK's lain," katanya.

Selain UK's yang dianggotai Amir, terdapat dua lagi kumpulan menggunakan nama sama, tetapi berbeza ejaan iaitu Ukays yang ditubuhkan bekas anggota UK's iaitu Amy. Satu lagu kumpulan turut menggunakan nama Ukays yang dianggotai bekas penyanyi mereka, Achik.

Kumpulan ini ditubuhkan pada 1986 dengan nama Ukay sebelum ditukar kepada Ukays menerusi album kedua, Mencari pada 1992.

Ketika menghasilkan album keempat, Tajam Menikam pada 1995, namanya ditukar lagi kepada UK's pula.

Dalam tujuh album studio mereka, Amir adalah penyanyi untuk enam album kecuali album pertama, Tinggal Irama pada 1989 yang menampilkan Zul sebagai penyanyi.

Amir berkata, dia pernah dihubungi seorang rakan bertanyakan mengenai persembahannya di tempat mereka dan dia menjelaskan itu UK's lain.

"Itu yang buat orang keliru. Dari dulu lagi saya dah cakap perkara ini. Ia sebenarnya kacau 'market' saya. Saya dapat tahu UK's yang itu tetap mengadakan persembahan walaupun dengan bayaran murah.

"Ia merendahkan nilai UK's yang sudah lama bertapak dalam industri muzik. Macam saya katakan, itu hal mereka dan saya dah malas nak persoalkan.

"Dah lama berlarutan dan tetap juga nak menggunakan nama UK's. Tak faham kenapa ada yang nak gunakan nama UK's sedangkan dia bukan anggota asal," katanya.

Amir berkata, tindakan itu sukar difahaminya, sekali gus merosakkan kredibilitinya.

"Dalam erti kata lain, kalau nak UK's yang murah ambillah mereka. Saya bukan nak kata saya mahal tapi nilai itu yang perlu selepas berpuluh tahun saya menyanyi dah macam tak berguna.

"Tapi saya percaya bahawa UK's saya yang sebenarnya orang nak. Saya tak menyalahkan komposer Saari Amri dalam isu ini.

"Dia pun tak boleh nak halang sebab bila mereka menyanyikan lagu ciptaannya, dia akan dapat royalti. Mereka yang menyanyikan lagu UK's nyanyian saya memang muka tak malu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 3:31 PM