AZLAN dan isterinya, Khairul Amira Abdul Malek menunjukkan produk keluaran CNE.
AZLAN dan isterinya, Khairul Amira Abdul Malek menunjukkan produk keluaran CNE.
Mohd Amin Jalil

Seremban: Syarikat pengeluar produk minuman kesihatan Bumiputera, Compact Nexus Enterprise (CNE) menyasarkan jualan 50,000 botol bernilai RM5 juta produk keluaran syarikat itu menjelang akhir tahun ini.

Pengurus CNE Azlan Harun berkata, dua produk keluaran syarikat iaitu Nia Ultimate dan Nia Vera adalah campuran minuman botani yang dirumus daripada aloe vera dengan kurma dan madu serta 10 bahan ekstrak herba lain.

Katanya, walaupun produk berkenaan baru dikeluarkan awal Februari lalu, tetapi mendapat sambutan baik orang ramai apabila dijual lebih 2,000 botol.

“Produk minuman kesihatan ini diformulasikan dengan teliti melalui kerjasama pakar pemakanan tempatan kerana kandungan bahannya adalah ekstrak herba terpilih seperti buah delima, epal, durian belanda, kiwi, buah naga, belalai gajah dan anggur.

“Produk ini juga sudah terbukti mampu membantu memberi tenaga kepada penggunanya, sekali gus menyihatkan badan, malah sesuai digunakan semua peringkat umur sama ada dewasa mahupun kanak-kanak,” katanya kepada Bisnes Metro, baru-baru ini.

Azlan berkata, pihaknya membelanjakan lebih RM100,000 bagi mengeluarkan produk berkenaan yang kini dikilangkan mengikut Amalan Pengilangan Baik (GMP) serta sudah mula dipasarkan di beberapa tempat terutama di kawasan Lembah Klang, Seremban dan Melaka menerusi ejen yang dilantik.

Menurutnya, walaupun produk minuman seperti itu sudah banyak dikeluarkan dan dipasarkan di seluruh negara, namun produk keluarannya berbeza kerana ia diformulasikan berasaskan aloe vera.

“Kami memberi kelainan kepada produk ini kerana aloe vera adalah bahan baik dan sesuai dalam membantu penghadaman serta sistem pencernaan badan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 6:50 AM