ZULKIFLI Khalid menunjukkan produk minuman yang kini berada di pasaran.
ZULKIFLI Khalid menunjukkan produk minuman yang kini berada di pasaran.
Ibrahim Isa

Muar: Zulkifli Bamadhaj Beverages Industries Sdn Bhd, anak syarikat Zulkifli Bamadhaj Sdn Bhd menjenamakan semula empat produk minuman keluaran syarikatnya yang sebelum ini lebih dikenali sebagai ubat tradisional.

Empat produk itu, Sarbat Tea, Ice Lemon Tea Hot and Cold, Eury Cafe Tongkat Ali dan Ginseng serta Kacima Cafe yang sudah berada di pasaran sejak lebih lima tahun lalu kini boleh didapati di Tesco, rangkaian Pasar Raya Family di Melaka dan Pasar Raya Tunas Manja di Pahang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkifli Khalid berkata, selain itu, pihaknya kini dalam proses perbincangan terakhir dengan pengurusan Pasar Raya Mydin untuk menempatkan produk berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini, empat produk berkenaan sudah berada di pasaran, namun gagal dipasarkan secara menyeluruh atas sebab teknikal.

Berikutan itu, pihaknya mengubah strategi dengan menubuhkan anak syarikat bagi memasarkan produk minuman itu.

Katanya, kelebihan utama keempat-empat produk keluaran mereka adalah penggunaan ekstrak dan bukannya serbuk seperti digunakan produk syarikat lain.

“Selain lebih enak, penggunaan ekstrak lebih selamat, namun kami terpaksa menanggung kos lebih tinggi kerana proses mengekstrak bahan mentah menelan belanja besar.

“Sebab itulah, kebanyakan syarikat lain lebih gemar menggunakan serbuk kerana ia lebih murah, malangnya ia membahayakan pengguna terutama untuk penggunaan jangka masa panjang.

“Antara masalah disebabkan penggunaan serbuk termasuklah darah tinggi, masalah buah pinggang dan jantung,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, mereka mengambil masa hampir enam bulan untuk tujuan kajian dan pembangunan (R&D) minuman itu di kilang mereka di Bakri, sebelum hasilnya dikomersialkan.

“Kami mengambil keputusan untuk menggunakan nama sarbat kerana ia diguna pakai rakyat Johor dan sudah mendaftarkannya.

“Teh sarbat ini lebih sesuai untuk lelaki manakala Ice Lemon Tea Hot and Cold sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

“Pada masa sama, kami mencipta Eury Cafe Tongkat Ali dan Ginseng untuk lelaki manakala Kacima Cafe untuk wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2016 @ 7:01 AM