KOLEJ PTPL menyediakan peluang untuk meneroka ilmu mengenai IT dengan pelbagai kemudahan komprehensif sepanjang tempoh pengajian.
KOLEJ PTPL menyediakan peluang untuk meneroka ilmu mengenai IT dengan pelbagai kemudahan komprehensif sepanjang tempoh pengajian.
Oleh Ruhaiza Rusmin

Teknologi maklumat (IT) dibangunkan sebagai perantara bagi memperoleh dan menyebarkan pelbagai jenis maklumat sementara kebergantungan terhadap keperluan ini penting bagi memastikan perjalanan setiap urusan dapat dilakukan dengan lebih efisien serta sistematik.

Dalam era globalisasi ini, penanda aras kemajuan sesebuah negara juga dilihat menerusi pencapaian dalam bidang ini termasuk negara kita yang turut menjadikan bidang teknologi maklumat sebagai elemen penting untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Menyedari potensi cerah bidang ini, Kolej PTPL menerusi Sekolah Sains Maklumat & Kejuruteraan (SISE) menawarkan program Diploma Teknologi Maklumat.

Ia sebagai menyahut usaha melahirkan graduan kompeten dan berkelayakan bagi menjana kepelbagaian permintaan industri ini.

Pelajar dilengkapi pengetahuan asas terkini dan kemahiran dalam bidang IT antaranya pengaturcaraan komputer, pembangunan perisian dan aplikasi, sistem dan perkakasan komputer, multimedia, teknologi Internet dan rangkaian. Program ini merangkumi modul pembelajaran sistem pengaturcaraan C++, Java dan ‘Visual Basic’.

Pelajar turut berpeluang mempelajari cara membaiki komputer selain membangunkan laman web, membina rangkaian LAN, WAN dan MAN.

Bagi yang berminat, syarat kemasukan ialah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM/SPMV) dengan tiga kredit dalam mana-mana subjek atau memiliki sijil PTPL dalam bidang berkaitan atau sijil dari Politeknik, Institusi Pengajian Tinggi awam atau swasta.

Graduan PTPL berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat bacelor dengan membuat pindahan kredit menerusi Faculty of Information Sciences & Engineering (FISE), Management & Science University (MSU).

Peluang kerjaya juga terbuka luas seperti pengaturcara komputer, pembangun aplikasi, pegawai teknologi maklumat, juruteknik komputer, jurutera komputer dan pakar rangkaian komputer.

Selain itu, program lain turut ditawarkan SISE di peringkat diploma dan sijil ialah kejuruteraan elektrik & elektronik, teknologi multimedia, reka bentuk grafik dan sains komputer.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 10:40 AM