TIDAK pernah ‘demand’ walaupun sering menang anugerah.
TIDAK pernah ‘demand’ walaupun sering menang anugerah.
Oleh Ramlah Zainal


Kehebatannya di pentas lakonan sudah terbukti menerusi pelbagai anugerah yang digengam sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan.

Antaranya, Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM23) menerusi filem Belukar, Aktor Terbaik Filem, Anugerah Skrin 2014 (Psiko Pencuri Hati) dan Pelakon Komedi Lelaki Terbaik Filem, Anugerah Lawak Warna 2014 (Sejoli).

Terbaru, bakatnya diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (Terbaik Dari Langit)

Namun, aktor hebat Bront Palarae, 37, masih tidak berubah dan sentiasa merendah diri.

Walaupun sudah mengungguli pelbagai anugerah dan menjadi buruan produser dan pengarah filem, pemilik nama sebenar, Nasrul Suhaimin Saifuddin mengakui tiada istilah ‘demand’ terutama membabitkan soal bayaran.

“Sebagai pelakon, tanggungjawab saya adalah melaksanakan amanah dan kepercayaan yang diberikan pengarah serta produser sebaik mungkin.

“Saya juga masih boleh bertolak ansur soal bayaran. Selalunya pihak saya akan berbincang dengan produser untuk mendapat harga yang dipersetujui bersama.

“Begitu juga dengan watak. Selepas menang anugerah, saya tak ada masalah melakonkan watak pembantu.

“Apa yang penting, watak yang ditawarkan itu ada impak dan memiliki mesej untuk disampaikan kepada penonton,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem terbarunya, Ola Bola di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai filem itu, Bront berkata dia diberi kepercayaan melakonkan watak pengulas sukan bernama Rahman.

“Saya terima tawaran ini kerana ingin bekerja dengan pengarah hebat filem The Journey, Chiu Keng Guan.

“Selain itu saya memang peminat bola sepak dan tertarik dengan watak pengulas sukan.

“Saya juga kagum dengan komitmen dan semangat yang ditonjolkan barisan pelakon baru dalam filem ini,” katanya.

Meskipun sudah menjayakan pelbagai watak, Bront mengakui berdepan cabaran melakonkan karakter pengulas sukan.

“Saya masuk kelas khas untuk belajar mengulas perlawanan bola sepak selama sebulan sebelum memulakan penggambaran.

“Nampak macam mudah, tetapi sebenarnya ia memerlukan teknik suara yang betul kerana ia perlu keluar dari perut. Sepanjang sesi latihan, saya juga sakit tekak dan hampir hilang suara,” katanya.

Filem yang akan menjengah pawagam pada awal tahun depan ini menampilkan barisan pelakon baru seperti Chee Jun Cherng, Saran Kumar, Lim Jian Wen, Muhd Luqman Hafidz dan Katrina Ho.

Antara filem lakonan Bront tahun ini ialah Anak Jantan arahan Faizul A Rashid bergandingan dengan Farid Kamil dan Nora Danish.

Dalam filem genre psiko seram, Jwanita arahan Osman Ali pula dia bergandingan dengan Maya Karin dan Cristina Suzanne.

Tidak ketinggalan, filem Girlfriend Kontrak arahan pengarah kelahiran Australia, Viginia Kennedy bergandingan dengan Keith Foo dan Risteena Munim.

Tidak sorok isteri

Selepas dua tahun berumah tangga, masih ramai tidak dapat merakamkan gambar Bront dan isterinya pada majlis hiburan termasuk di karpet merah.

Menurut Bront, dia tidak sorok isteri daripada media dan peminat sebaliknya buah hatinya itu tidak selesa menjadi perhatian ramai.

“Sebenarnya, ada juga saya bawa isteri dalam pelbagai majlis hiburan, tetapi dia yang tidak selesa menjadi perhatian ramai.

“Saya menghormati permintaannya yang memilih berada bersama tetamu lain dalam majlis daripada berjalan berduaan di permaidani merah,” katanya.

Bagi memastikan kebahagiaan rumah tangga, Bront turut memperkenalkan pelakon wanita yang bakal digandingkan dengannya dalam filem untuk menjaga hati isterinya itu.

“Selepas bergelar suami, saya lebih selesa bersikap telus dengan isteri.

“Dia kenal dengan pelakon wanita yang menjadi heroin filem lakonan saya seperti Maya Karin dan Sharifah Amani kerana kami rapat seperti keluarga.

“Jika digandingkan dengan pelakon wanita yang belum pernah bekerjasama, saya akan kenalkan dengan isteri terlebih dulu,” katanya yang berkahwin de–ngan penerbit di sebuah agensi pengiklanan di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur tanggal 31 Ogos 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:00 AM