WAJAH hadapan lebih mantap terutama lampu dan jeriji.
WAJAH hadapan lebih mantap terutama lampu dan jeriji.
ENJIN lebih jimat minyak.
ENJIN lebih jimat minyak.
RUANG kabin yang dikemas kini.
RUANG kabin yang dikemas kini.
Oleh Erywan Norshal


Biarpun permintaan trak pikap menerusi Ford Ranger di Malaysia ketika ini masih lagi mantap, ia tidak menjadi penghalang buat Ford Motor Company memperkenalkan model baru kepada mata dunia.

Apa yang boleh disimpulkan, Ford Motor Company mahu mengekalkan momentum populariti trak pikapnya agar terus bersemadi di hati masyarakat global supaya ia tidak basi.

Model yang diperkenalkan secara global di Pameran Motor Bangkok, Thailand, awal tahun ini, menetapkan satu penanda aras baru dalam segmen trak pikap dengan menggabungkan aspek kemampuan, keselamatan dan teknologi termaju.

Rangkaian teknologi baru Ford Ranger disempurnakan dengan bahagian luarannya bergaya dan pintar di samping kemampuan mengharung air, menunda serta mengangkut beban yang terbaik dalam kelasnya.

Di bawah hud, ia ditawarkan dengan enjin diesel Duratorq lima silinder 3.2 liter generasi terbaru dan diesel TDCi Duratorq empat silinder 2.2 liter yang dipadankan kotak gear manual atau automatik enam kelajuan.

Bagi enjin diesel 3.2 liter Duratorq lima silinder TDCi, ia menerima penambahbaikan membabitkan sistem kitaran semula gas ekzos yang membantu meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 12 peratus. Pada masa sama mampu menjana kuasa mencecah 200 PS dan tork setinggi 470 Nm.

Bagaimanapun, enjin diesel 2.2 liter Duratorq empat silinder TDCi turut menawarkan penjimatan bahan api dan kelancaran yang signifikan.

Enjin itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 160PS dengan tork mencecah 385Nm dan ia lebih baik berbanding enjin 2.2 liter pada Ford Ranger terdahulu.

Varian tertinggi menerusi WildTrak, ia padat ciri teknologi terkini yang menampilkan sistem ketersambungan SYNC 2 membabitkan ciri skrin sentuh lapan inci untuk mengawal telefon, hiburan dan suhu dengan menggunakan sistem arahan suara.

Ia juga menjadi perintis dalam segmennya yang menggunakan sistem MyKey Ford membolehkan pelbagai ciri diprogramkan untuk menetapkan had kelajuan maksimum dan amaran memakai tali pinggang keledar.

Ford Ranger juga dilengkapi alat pengesan parkir di bahagian hadapan dan belakangnya, selain tampil dengan kamera mengundur yang memberikan pandangan lebih jelas.

Bagi pemanduan ‘off-road’, ia mampu mengharung air sedalam 0.8 meter (m) dengan jarak kelegaan tanah 2.3m yang mendahului kelasnya, sekali gus menjadi trak pikap paling lasak di Malaysia.

Ia berkeupayaan menunda sehingga 3,500 kilogram (kg) serta mampu mengangkut beban dengan kapasiti mencecah 1,200kg.

Harga rasmi Ford Ranger membabitkan varian XL dijual daripada RM91,588 dan XLT (daripada RM101,388), manakala WildTrak pada harga RM132,188.

Selain itu, ia ditawarkan dengan enam pilihan warna seperti Pride Orange, Cool White, Metropolitan Grey, Aluminium Metallic, Black Mica dan Aurora Blue.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:01 AM