GAUN kembang dengan tampalan renda pada pinggang sesuai untuk majlis dalam taman.
GAUN kembang dengan tampalan renda pada pinggang sesuai untuk majlis dalam taman.
GAUN labuh daripada fabrik sifon beralun cantik untuk mempelai berbadan langsing.
GAUN labuh daripada fabrik sifon beralun cantik untuk mempelai berbadan langsing.
FABRIK renda sarat manik digunakan pada busana bagi menyerlahkan keanggunan mempelai.
FABRIK renda sarat manik digunakan pada busana bagi menyerlahkan keanggunan mempelai.
TAMPIL dengan layah panjang memberikan keunikan kepada mempelai terutama bagi majlis keraian mewah.
TAMPIL dengan layah panjang memberikan keunikan kepada mempelai terutama bagi majlis keraian mewah.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Pemilihan warna busana memainkan peranan penting dalam menentukan keanggunan mempelai. Dalam hal ini wanita seharusnya memilih warna mengikut personaliti mereka dan bukannya rona yang jarang dipakai.

Menjelaskan perkara ini menurut pemilik Weddings by Emma Studio, Zuraida Jaafar, 29, kebiasaannya bakal pengantin mengharapkan warna busana yang lain daripada lain dan jarang digayakan bagi menampakkan kelainan.

Sebenarnya ia satu pemilihan yang salah. Sebaik-baiknya mempelai perlu memilih warna busana mengikut personaliti mereka agar ia kelihatan jujur apabila digayakan pada hari persandingan. Berdasarkan trend semasa warna pastel seperti krim, coklat lembut dan kuning susu, tetapi warna kuning, biru dan ungu lembut masih mendapat perhatian.

Untuk songket yang semakin mendapat tempat pada masa sekarang, warna cerah seperti biru, kuning keemasan, ungu, dan hijau zamrud menjadi pilihan mempelai. Rona ini akan menyerlahkan gaya klasik dan menampakkan keindahannya terutama apabila bersanding di pelamin nan indah.

Zuraida yang pada mulanya hanya menyediakan pakej pelamin dan hantaran, kini menawarkan busana perkahwinan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Dulu saya mendapatkan busana daripada pereka Dwen Raha, tetapi kini memberanikan diri menghasilkan rekaan dengan mendapatkan pandangan daripada Dwen serta perbincangan dengan pelanggan. Saya tidak membuat keputusan 100 peratus sebaliknya mendapatkan pandangan semua pihak bagi mendapatkan rekaan busana terbaik termasuk warna dan potongan,” katanya yang mengusahakan perniagaan di Klang.

Mengetengahkan rekaan moden klasik menerusi gaun daripada fabrik sifon dan broked kemudian ditambah perincian renda bagi menyerlahkan penampilan mempelai, dia juga turut menyediakan koleksi songket yang diberi sentuhan moden menerusi gabungan sifon pada bahagian tertentu. Dengan tambahan fabrik seperti sifon dan renda, rekaan akan menjadi lebih menyerlah kerana tidak memberi tumpuan kepada songket semata-mata.

“Malah kebanyakan pelanggan menggemarinya kerana penampilan mereka akan lebih anggun dan sesuai dengan konsep moden kontemporari,” katanya.

Bagi gaun pula, Weddings by Emma Studio menyediakan koleksi untuk pelbagai ukuran badan sama ada seseorang itu berbadan kecil, rendah, tinggi atau besar. Untuk mempelai langsing tidak menjadi masalah kerana mereka sesuai menggayakan apa saja potongan busana berbeza bagi yang bertubuh comel kerana padanan tertentu saja boleh digayakan mereka.

“Bagi mempelai berbadan besar biasanya saya menyediakan busana ringkas menggunakan renda Perancis tanpa perincian manik sarat. Ini kerana penggunaan manik sarat akan menyebabkan mempelai bertambah ‘comel’. Mereka juga sebaiknya tidak memilih busana putih sebaliknya warna sedikit gelap bagi menyembunyikan kekurangan tubuh,” katanya.

Turut menyediakan koleksi tudung berbentuk bulan daripada fabrik sifon kerana ia mudah dibentuk dan terletak cantik apabila dipadankan dengan busana. Untuk layah pula Zuraida amat mementing­kan kualiti dengan menyediakan layah lembut dan beralun cantik daripada kain net ringan dan sifon lembut. Ini bagi memastikan langkah mempelai lebih yakin dan mereka kelihatan menawan apabila berada di hadapan tetamu.

Dia yang memulakan khidmat juru runding perkahwinan pada 2012 menjelaskan pada mulanya agak sukar membina kepercayaan orang ramai tetapi selepas menyediakan perkhidmatan terbaik kepada mereka akhirnya Wedding by Emma menjadi perhatian dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Pada masa akan datang besar harapan wanita ini untuk menjadi pusat sehenti dengan menyediakan semua keperluan mempelai. Untuk maklumat lanjut layari Facebook Weddingsbyemma dan Instagram weddings­byemma

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2015 @ 5:02 AM