PENAMPILAN personaliti klasik Hollywood masih relevan hingga kini.
PENAMPILAN personaliti klasik Hollywood masih relevan hingga kini.
Siti Zarinah Sahib

Rekaan busana perkahwinan yang dihasilkannya setakat ini tidak pernah mengecewakan. Garapan rekaan dengan perincian hiasan menjadikan setiap helaian anggun digayakan mempelai. Pemilihan rona pastel dengan fabrik berkualiti menjadi paduan yang mengukuhkan lagi rekaan Ezuwan Ismail, 35.

Selama tujuh tahun dalam industri fesyen, Ezuwan masih mengekalkan kualiti dan keaslian ideanya. Begitu juga tahun ini apabila dia memilih konsep klasik dengan mengambil inspirasi daripada Grace Kelly, kerabat diraja paling ikonik sempena pertunjukan fesyen The Wedding KL 2017.

Menghidangkan konsep mengenai kecantikan, kewanitaan dan kehidupan kerabat diraja yang menjadi ikon fesyen sepanjang zaman, ia diibaratkan tema paling menyerlah dan mampu diangkat bagi menaikkan taraf wanita.

Untuk itu, Ezuwan menghasilkan 20 koleksi busana wanita dengan gabungan unsur moden, sofistikated dan tradisional. Garapan moden dan elegan dapat dilihat menerusi potongan gaun kembang dengan fabrik berbulu yang sesuai untuk wanita yang inginkan acara mewah pada majlis perkahwinan mereka.

Tidak dilupa, rekaan tradisional menggunakan fabrik songket yang me­nyerlahkan gaya pemakai sekali gus menampakkan ciri kemewahannya. Ezuwan menggunakan rona cukup memikat dengan memberi tumpuan kepada empat rona pastel iaitu biru muda, champagne muda, kelabu muda dan putih krim.

“Ini antara rona mewah yang jarang dipilih namun kelihatan cukup menawan apabila digayakan mempelai. Warna yang elegan ini walaupun ia tidak terang, cukup membuatkan mempelai berada dalam kelas tersendiri,” kata bapa kepada dua cahaya mata, Eisa Zhafran dan Eisa Zaquan ini.

Sebab utama memilih personaliti klasik Hollywood yang akhirnya menjadi puteri diraja ini sebagai ikon dalam rekaan kerana penampilan Grace masih relevan bermula dari eranya sehingga sekarang. Apa saja yang dipakai sentiasa menjadi ikutan dan tidak pernah lapuk di telan zaman.

Selain mementingkan potongan yang unik, pereka ini juga bijak memilih fabrik apabila hanya menggunakan material berkualiti seperti sifon, net lembut, songket dan taffeta.

“Pemilihan fabrik sangat penting dalam setiap rekaan saya kerana fabrik bukan saja perlu cantik tetapi lembut, beralun dan kelihatan menawan apabila digayakan,” katanya yang akan pulang ke negeri kelahiran iaitu Kelantan untuk mempersembahkan koleksi raya 2017 Hello Raya 2.0 di sana.

“Ini kali pertama saya melancarkan koleksi hari raya di negeri Cik Siti Wan Kembang. Saya memilih Rozita Che Wan sebagai wajah untuk koleksi ini nanti,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai himpunan perkahwinan Ezuwan Ismail boleh melayari Instagram @ezuwanismail atau ke butik Ezuwan Ismail di No 1-6, Blok B, Jalan Dagang, Dagang Avenue, Taman Dagang, Ampang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 2:03 AM