CANTIK bergaya, Nur Aisyah mahu berjaya dalam bidang diceburinya.
CANTIK bergaya, Nur Aisyah mahu berjaya dalam bidang diceburinya.
NUR AISYAH tekad mahu berjaya dalam bidang aksesori pemotoran dijalankannya.
NUR AISYAH tekad mahu berjaya dalam bidang aksesori pemotoran dijalankannya.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Wajahnya ayu dan tutur katanya sopan. Ketika berbual, sesekali terselit kemanjaan semula jadi yang membuatkan orang tidak sangka wanita muda ini memiliki jiwa kental dan berani. Ya, siapa sangka jiwa wanita cantik dan manja sepertinya terarah kepada bidang yang biasanya dikuasai lelaki.

Memiliki personaliti menarik dan rupa paras yang menawan tidak menjadi penghalang kepada Nur Aisyah Kamsin, 31, untuk membabitkan diri dalam dunia aksesori dan bahagian pemotoran kerana itu adalah minat sebenar dirinya.

Mengusahakan empayar perniagaan dalam bidang yang dipelopori kaum lelaki pastinya memberi cabaran besar buatnya, namun dia tekad untuk terus ke hadapan.

Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang terbabit, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, bergelar pengasas dan pemilik perniagaan permotoran dalam dan luar negara atas jenama Times Bike bukanlah sesuatu perkara mudah.

“Saya mula meminati bidang ini secara serius selepas berkahwin kerana suami adalah antara pelumba profesional dan dia pastinya amat meminati bidang ini.

“Bermula daripada melihat suami membeli dan mengumpul pelbagai aksesori permotoran menjadikan saya mula terfikir mengapa tidak menjadikannya sebagai pilihan perniagaan kami,” katanya.

Nur Aisyah yang juga anak kelahiran Batu Pahat, Johor berkata, bermula daripada itu, dia memberanikan diri mengusahakan perniagaan terbabit dan pastinya hasil bantuan suami dan kenalan.

“Untuk perniagaan ini saya yang menguruskan segalanya dan saya perlu bijak serta cekap dalam mencari peluang terbaik supaya dapat terus bersaing dengan jenama lain yang diusahakan lelaki.

“Kenangan pahit? Terlalu banyak. Saya tidak dapat melupakan pelbagai kenangan pahit pada awal pembabitan dalam bidang ini terutama sering ditipu ketika mahu membeli dan mendapatkan stok aksesori terbaik,” ujarnya sambil tersenyum.

Menurutnya, walaupun pahit dalam mengharungi pelbagai dugaan pada awal pembabitannya kira-kira lebih tiga tahun lalu, namun ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus mengharungi arus perniagaan.

“Bermula daripada itu saya terus berusaha dan memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan terutama dengan menyediakan pelbagai pilihan aksesori permotoran yang bukan saja cantik, tetapi berkualiti tinggi.

“Pada masa sama saya juga belajar mengenali setiap aksesori permotoran kerana ia adalah perkara paling asas untuk peniaga seperti saya. Saya tidak mahu ditipu lagi dan tidak sekadar mengharapkan maklumat daripada pekerja,” katanya.

Menurut Nur Aisyah, dia juga sentiasa membuat kajian dan penelitian khusus dalam mendapatkan aksesori seperti helmet.

“Status isteri dan ibu yang sibuk melayan kerenah anak tidak menyekat langkah saya dalam bidang ini. Saya mahu buktikan bahawa wanita yang menjalankan pelbagai tugas pada satu masa juga boleh meng­usahakan perniagaan yang biasanya dijalankan oleh lelaki.

“Minat amat penting untuk membolehkan kita berasa selesa dan seronok menjalankan perniagaan. Minat juga yang menghilangkan rasa kekok walaupun pada mata kasar saya ini seolah-olah tidak sesuai bergelar pemilik perniagaan aksesori pemotoran,” ujarnya.

Bukti keupayaan wanita

Nur Aisyah yang menjalankan perniagaan Times Bike di Kampung Baru, Kuala Lumpur berkata, dia kini memiliki ratusan aksesori pemotoran yang pastinya berkualiti tinggi.

“Kami mempunyai pelbagai jenama terkini serta rekaan menarik dengan tawaran harga berpatutan dan ia menjadi antara kelebihan Times Bike berbanding yang lain.

“Saya amat pentingkan kepuasan pelanggan dan sebab itulah saya sentiasa berusaha mencari jenama terbaik pada harga mampu milik. Kepercayaan pelanggan itu amat penting dan ia tidak boleh disia-siakan,” katanya.

Menurut Nur Aisyah yang kini menetap di Puchong, Selangor, walaupun dikira baru dalam bidang itu, namun dia berasa gembira dan berpuas hati kerana pelanggan yang datang ke kedainya terdiri daripada ramai golongan artis.

“Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad, Fizo Omar, Pekin dan Maznah Zulkifli adalah antara pelanggan kami selain pelumba ternama.

“Ini adalah antara kejayaan manis dalam diri dan perniagaan saya kerana mendapat kepercayaan pelanggan yang pastinya mahukan aksesori terbaik dan berkualiti,” ujarnya.

Walaupun sudah dikira stabil dalam perniagaannya, Nur Aisyah berkata, dia belum boleh menarik nafas lega kerana perjuangan dalam bidang perniagaan yang diceburinya itu masih panjang.

“Saya mahu Times Bike terus berkembang maju di negara ini dan menjadi pilihan utama peminat dan ‘kaki motor’. Disebabkan itu, saya masih lagi perlu belajar dan mengkaji apa yang terbaik berkaitan bidang ini,” katanya.

Menurutnya, dia berazam untuk membuktikan wanita juga mampu berjaya mengusahakan bidang yang dipelopori lelaki dan berdiri sama tinggi dengan golongan itu dalam bidang perniagaan.

Impian besar

Berkecimpung dalam bidang permotoran pastinya menyebabkan wanita gigih ini ba­nyak menghabiskan masanya dengan motosikal.

“Suami saya amat meminati motosikal berkuasa tinggi dan mempunyai beberapa buah motosikal itu yang menjadi antara koleksi peribadinya.

“Hakikatnya, saya sudah lama memasang niat untuk mahir menunggang motosikal berkuasa tinggi ini, namun ia belum dapat dicapai kerana baru saja melahirkan anak kedua, tahun lalu,” ujarnya.

Menurut Nur Aisyah, dia yakin suatu hari nanti pasti dapat merealisasikan impiannya itu kerana dia sememangnya begitu meminati dunia permotoran.

“Ramai yang tidak percaya saya mempunyai minat sebegini yang bertentangan dengan perwatakan dan personaliti luaran saya.

“Bagi saya tidak ada salahnya wanita meminati dan berkecimpung dalam bidang ini kerana apa juga perniagaan ia bergantung kepada minat serta usaha dilakukan untuk berjaya,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menyesali usaha dan pilihannya itu kerana selain menambah pe­ngalaman dan pengetahuan, ia juga membuatkan kehidupannya lebih berwarna-warni.

“Saya akan terus melangkah dan membuktikan bidang ini sesuai dengan diri saya selain sentiasa bersyukur kerana di­anugerahkan suami dan keluarga yang amat memahami. Mereka adalah tulang belakang kejayaan saya dan tanpa mereka pasti saya tidak mampu berdiri di tempat sekarang,” ujarnya.

Kerjaya dan keluarga sama penting

Bergelar ibu kepada dua anak kecil yang berusia tiga tahun dan setahun serta dalam masa sama menerajui perniagaan bukanlah perkara mudah. Benar, bunyinya memang indah, tetapi tidak mudah.

Menurut Nur Aisyah yang turut mementingkan kecantikan dan penampilan diri, kedua-dua perkara itu memerlukan dia sentiasa cergas dan cekap dalam melaksanakan tang­gungjawab di rumah dan tugas di pejabat.

“Kedua-dua anak saya masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya yang menyebab­kan kadangkala saya berasa penat untuk mengendalikannya.

“Syukurlah suami memahami dan sentiasa membantu urusan rumah tangga. Sokongan inilah yang menguatkan saya untuk lebih bersungguh-sungguh berusaha menjadi isteri, ibu dan peniaga yang lebih baik. Malah sebaik menceburi perniagaan, saya berazam menjadi majikan yang bertimbang rasa dan disukai pekerja,” katanya.

Katanya, semua penat lelah yang dilaluinya pastinya berbaloi apabila melihat telatah anak dan kejayaan dalam perniagaan.

“Saya berharap apa yang saya lakukan kini membuahkan hasil yang diimpikan dan Times Bike berkembang maju di seluruh negara. Tidak mudah untuk berjaya dan tidak susah juga untuk gagal. Jadi saya kena selalu belajar dan berusaha. Seperti kata bidalan, ‘gagal bersedia sebenarnya bersedia untuk gagal’,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 12:57 PM