NUR Aisyah bersama permainan comelnya.
NUR Aisyah bersama permainan comelnya.
NUR Aisyah bersama ibu yang banyak memberi sokongan.
NUR Aisyah bersama ibu yang banyak memberi sokongan.
ANTARA koleksi jualan yang menarik.
ANTARA koleksi jualan yang menarik.
ANTARA koleksi jualan yang menarik.
ANTARA koleksi jualan yang menarik.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Deretan patung pelbagai bentuk yang comel dengan warna terang membuatkan sesiapa saja geram melihatnya. Malah apabila dipicit, rupanya yang kembali ke bentuk asal dengan pantas membuatkan ‘squishy toys’ mendapat tempat dalam hati ramai peminatnya, tidak mengira usia.

Maka, tidak hairanlah apabila Nur Aisyah Mohd Razip, 15, memilih untuk memulakan perniagaan dengan menjual permainan itu sejak dua tahun yang lalu selepas ramai peminatnya bertanya mengenai permainan comel itu.

Biarpun bukan seorang artis, dia sangat popular dan menjadi idola dalam kalangan pengikutnya di YouTube dan Instagram kerana gemar memuat naik video kisah seharian dan cabarannya juga video ketika melancong.

Nur Aisyah terjun ke bidang perniagaan selepas mendapat banyak pertanyaan ramai peminat selain dia sendiri meminati serta memiliki koleksi permainan yang comel dan menarik itu.

Memiliki pengikut seramai 35,000 orang di YouTube, gadis pemalu, tetapi matang itu bijak merencanakan perjalanan perniagaannya melalui nasihat serta sokongan daripada ibunya, Datin Suhaini Mohamed Noor.

Siapa sangka, permainan bertekstur span itu begitu digilai pengumpulnya hingga ada yang sanggup membayar harga yang tinggi, ada antaranya mencecah RM500 bagi koleksi yang terhad dan sukar didapati.

Begitulah penangan mainan ini hingga Nur Aisyah tidak menang tangan mengambil pesanan serta menghantarnya kepada pembeli apatah lagi dia sudah mempunyai peminat sendiri sejak berusia 12 tahun.

Semuanya bermula apabila gadis manis itu mula membuat ‘vlog’ yang dimuat naik ke YouTube pada usia seawal 12 tahun.

“Saya gemar berkongsi apa saja mengenai kehidupan seharian dan memuat naik aktiviti selain menghiburkan penonton dengan cabaran yang dilakukan.

“Ramai menonton vlog dan apabila kami mula berhubung, saya maklumkan mempunyai Instagram dan mengajak mereka mengikut saya.

“Sejak itu, ramai yang mengikut dan ramai pula yang bertanya jika saya ada menjual sejenis permainan ini. Melihat ramai yang berminat, saya pun mula menjualnya.

“Mendapat sambutan hangat, saya kemudian melakukannya dengan lebih serius. Setiap hari saya memproses jualan bernilai antara RM800 hingga RM1,000,” katanya.

Dia mengambil masa pada waktu malam atau masa lapang untuk membungkus pesanan manakala ibunya pula membantu mengeposkannya. Peruntukan masanya antara satu hingga dua jam setiap hari untuk membungkus pesanan.

Nur Aisyah berkata, permainan itu mendapat permintaan tinggi bukan saja kerana penampilannya yang comel, tetapi kerana ia sering mempunyai rekaan terbaru setiap minggu, membuatkan ramai yang menyimpannya sebagai koleksi berharga mereka.

Dalam kalangan peminat permainan itu, mereka tahu nilai yang ada, malah ia boleh ditukar serta dijual beli kerana mempunyai harga tertentu terutama bagi koleksi terhad dan sukar didapati.

Melalui laman Instagram/cupcake_aisyah dan Instagram/cupcakestore_aisyah, dia menjual permainan itu bermula pada harga RM5 hingga RM65.

Dia banyak memberi fokus kepada permainan yang diimport dari Jepun kerana kualitinya yang tinggi. Namun memandangkan ada peminat permainan itu yang ingin memilikinya tetapi kurang mampu, Nur Aisyah turut menjual jenis diimport dari China yang mempunyai harga lebih rendah.

Ada yang terperanjat kerana perniagaan ini diuruskan oleh gadis berusia 15 tahun. Lebih membanggakan, biarpun baru berusia 15 tahun, dia sudah mampu menjana jualan sebanyak RM25,000 sebulan.

Selain pendapatan daripada perniagaan, Nur Aisyah turut menjana duit poket daripada Google memandangkan pengikut vlog dirinya yang sudah mencapai jumlah pengikut yang melepasi sasaran ditetapkan.

Memiliki pendapatan yang lumayan bagaimana­pun tidak menyebabkan anak kedua daripada dua beradik itu menjadi boros.

Sebaliknya, dia menggunakan sebahagian wang itu untuk dijadikan modal pusingan membeli peralatan yang memudahkannya memuat naik vlog serta melancarkan urusan perniagaan termasuk menambah koleksi permainan, komputer riba dan kamera video.

Biarpun sibuk menghasilkan vlog serta berniaga, Nur Aisyah tidak sesekali mengabaikan pelajarannya. Buktinya pada peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dia berjaya mencatat keputusan 5A.

Menurut ibunya, Nur Aisyah seorang anak gadis yang matang dan berfikiran terbuka malah sentiasa positif.

“Dia tidak pernah merungut biarpun popularitinya di Internet membuatkan dia kehilangan sedikit masa bersendiri.

“Setiap kali keluar, Nur Aisyah dikerumuni peminat yang mahu bergambar dengannya namun dia tetap gembira melayan mereka, selain ada antara peminatnya sudah dianggap seperti kawan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengenai perasaannya kerana kerap kali diserbu peminat apabila berjalan di luar, Nur Aisyah langsung tidak kisah malah sangat gembira bertemu dan melayan peminat ciliknya.

Memandangkan pesaing dalam perniagaan itu kini semakin bertambah, Nur Aisyah kini menyediakan perkhidmatan menghantar terus pesanan ke rumah pelanggan dan pembelian secara tunai, bagi pelanggan yang membeli sekurang-kurangnya 100 permainan dengan bayaran penghantaran sebanyak RM10.

Dia dan ibunya sering membuat tempahan daripada pengeluar permainan itu di Jepun dan China untuk mendapat koleksi terbaru.

Ketika Nur Aisyah membawa masuk permainan itu, ia sangat baru di negara ini, namun memandangkan ia sudah mempunyai ramai pesaing, dia kini mengorak langkah mengembangkan perniagaan produk lain.

Antaranya yang akan diperkenalkan Nur Aisyah adalah baju-T kain kapas dengan tema kek cawan yang comel berserta kata-kata menarik.

Bersaiz XS hingga M, baju-T itu antara impian gadis itu mengembangkan minatnya dalam dunia perniagaan selain beberapa rancangan lain yang sudah disusun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 8:49 AM