Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Idea kreatif menghasilkan burger mini tiga warna diisi daging homemade dengan sayuran segar membuahkan hasil apabila menerima sambutan menggalakkan di kalangan pelanggan bazar Ramadan.

Peniaga Ahmad Zul Syafiq Mohamad Sahamri, 27, berkata setiap set burger mempunyai tiga jenis burger mini berwarna hijau, hitam dan jingga.

"Lebih istimewa setiap burger mini ini mempunyai tiga citarasa iaitu roti hijau perisa pandan diletakkan sos cili, mayonis serta kepingan keju.

"Manakala roti warna hitam atau roti arang (charcoal) diletakkan bawang karamel (caramelized onions) serta roti warna oren pula dimasukkan sos lada hitam," katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Jertih, di sini.

Katanya, dia menggunakan sayuran segar seperti timun batang, hirisan daun salad, tomato serta bawang, manakala daging homemade pula menggunakan daging lembu yang dibentuk menjadi saiz kecil supaya mudah untuk diisi ke dalam burger mini berkenaan.

"Proses untuk menyiapkan sebiji burger mini hanya mengambil masa kira-kira tiga minit sahaja kerana daging bersaiz kecil cepat serta mudah dimasak.

"Setiap kali masak daging burger, kami akan letak antara 10 hingga 12 keping untuk menjimatkan masa," katanya yang menjual set burger mini itu pada harga RM10 setiap satu.

Sementara itu, rakannya Wan Mohamad Faiz Wan Adnan, 32, berkata ia adalah pengalaman kali pertama mereka berniaga di bazar Ramadan.

"Walaupun masih baru, kami bersyukur kerana menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang memilih burger mini sebagai juadah berbuka puasa bersama keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 1:55 PM
Ahmad Zul Syafiq (kanan)  menyediakan burger mini yang ditempah di Bazar Ramadan Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Ahmad Zul Syafiq (kanan) menyediakan burger mini yang ditempah di Bazar Ramadan Jertih. FOTO Nurul Fatihah Sulaini