PILIHAN burger asli dari California.
PILIHAN burger asli dari California.
Oleh Zaitie Satibi


Mencari burger sebagai juadah untuk mengisi perut tidaklah sukar kerana pelbagai jenama boleh didapati, namun CaliBurger menjanjikan produk berkualiti premium pada harga mampu.

Makanan berasal dari California, Amerika Syarikat ini dibawa Caliburger (Malaysia) Sdn Bhd sebagai pilihan kepada variasi makanan segera Barat di negara ini. Kesegaran adalah faktor utama untuk menjamin kelazatan hidangan disediakan apabila menawarkan gumpalan isinya yang 100 peratus daging lembu manakala gumpalan isi burger ayam pula menggunakan bahagian dada yang berisi penuh.

Pengurus Pemasarannya, Nur Mustaffa berkata, CaliBurger yang diasaskan pada 2012 adalah revolusi pada burger klasik California yang lebih menekankan kombinasi rasa asli roti bun, salad, tomato, sos dan isi burger berbanding saiz hidangan.

“Gumpalan daging adalah hasil ramuan tersendiri, disediakan segar tanpa campuran bahagian lain dan dicencang serta dijadikan doh di kedai kami pada setiap hari. Kami tidak menggunakan daging beku, begitu juga dengan gumpalan isi ayam yang menggunakan hanya bahagian dada.

“Sayur-sayuran juga dihantar kepada kami pada setiap pagi, manakala roti bun pula dibakar setiap hari,” katanya.

Menu ditawarkan seperti Cali Double dengan dua keping gumpalan daging, keju cair Amerika, potongan tomato merah dan hirisan salad. Chipotle BBQ Chicken Sandwich pula memiliki keunikan rasa tersendiri apabila dada ayam diadun secara unik diperap bersama herba dan lemon sebelum diapit tomato, hirisan daging, bawang mentah, jeruk serta sos panggang.

Cali Chicken Sandwich pula adalah hidangan burger bersama dada ayam yang diperap dengan herba dan lemon sebelum diletakkan salad, tomato serta mayonis avokado. Hidangan menu yang disarankan adalah Wild Style Fries iaitu kentang goreng yang disaluti keju cair Amerika dan ditabur bawang yang dipanggang dan sos istimewa buatan sendiri.

“Pelanggan akan diberi butang buzzer yang akan bergetar dan berlampu apabila pesanan siap dihidangkan bermaksud mereka boleh bergerak ke tempat lain pada jarak tertentu dan kembali mengambil pesanan.

“Bagi pelanggan yang memilih menjamu selera di premis, mereka boleh mencuba permainan konsol CaliBurger Minecraft yang dibangunkan secara khas untuk pelanggan bermain menerusi telefon pintar yang disambung ke televisyen besar. Permainan ini boleh dimainkan secara berkumpulan dan mereka boleh berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.

Pelanggan juga dijamin dengan suasana premis yang santai dengan dekorasi persekitaran pantai di California seperti mural pohon kelapa, laut, camar dan matahari terbenam. Turut menarik pandangan dengan prop papan luncur yang digantung di siling.

Apa yang menarik di CaliBurger, pelanggan boleh menghilangkan dahaga sepuas-puasnya kerana minuman boleh diisi semula secara percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2016 @ 5:01 AM