MOHD Khairul bersama sajian pilihan utama pelanggan ketika berkunjung di kedainya.
MOHD Khairul bersama sajian pilihan utama pelanggan ketika berkunjung di kedainya.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Penggemar roti pastinya pening untuk membuat pilihan sebaik melihat menu ketika berkunjung ke kedai makan Roti Bakaq Teloq Meleleh (RBTM) Beserah, Kuantan.

Masakan tidak! Ada 18 menu berasaskan roti bakar telur meleleh dengan pelbagai pilihan ‘toping’ sama ada kepingan daging rusa, kambing, ayam, bebola daging, sosej, keju mahupun campuran semuanya atau roti telur goyang yang cukup enak dinikmati ketika masih panas.

Penulis sendiri sukar memilih menu kerana semuanya kelihatan menyelerakan terutama ketika melihat pelayan menyajikan hidangan di meja pelanggan sebelah.

Kecur air liur melihat roti bakar telur meleleh yang terhidang di meja sebelah membuatkan penulis memilih roti telur bebola daging, roti telur daging rusa dan roti telur goyang bersama kopi ais Vietnam dan teh ais hijau.

Menepati cita rasa dan selera penulis, ternyata sajian roti itu mempunyai keistimewaan tersendiri dan boleh dinikmati sebagai sarapan, minum petang atau makan malam.

Pengusahanya, Mohd Khairul Zakirin Mahmud, 27, berkata ramai pelanggannya ‘kelabu mata’ untuk membuat pilihan.

“Ada ketikanya pelayan terpaksa menunggu beberapa ketika untuk memberi peluang kepada pelanggan memilih menu digemari dan ada yang bertanya mana paling sedap.

“Pelanggan biasanya memilih roti telur goyang, roti telur campur sosej dan keju manakala menu terbaru kami ialah roti telur daging rusa dan keju serta roti telur kambing campur keju serta roti telur bebola daging campur keju juga diminati pelanggan,” katanya ketika ditemui di kedainya, baru-baru ini.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, penyediaan roti bakar hanya mengambil masa antara lima hingga 10 minit.

Katanya, roti dipanaskan pada kedua-dua bahagian hingga perang. Pada masa sama didihkan air dan rebus telur dalam tempoh dua minit. Telur dipecahkan kemudian diletakkan atas permukaan roti sebelum dilapisi bahan tambahan mengikut pesanan pelanggan dan dihiasi keju, mayonis, sos cili serta taburan lada hitam.

Mohd Khairul Zakirin berkata, dia menyediakan kira-kira 240 keping roti ‘benggali’ setiap hari dan meningkat sehingga 400 keping pada hujung minggu dan cuti umum. Setiap hidangan berharga antara RM2 hingga RM7.

Selain itu, RBTM turut menyediakan nasi lemak kukus dengan pilihan sambal bilis, sambal ikan tongkol, telur mata dan telur rebus dengan harga antara RM2 dan RM4 sepinggan.

“Saya belajar daripada ibu, Teh Zainon Mamat, 53, dalam menyediakan nasi dan sambal kerana tiada pengalaman langsung dalam bidang masakan dan bersyukur kerana nasi lemak air tangan sendiri menerima pujian pelanggan,” katanya yang menyediakan antara lima hingga enam kilogram nasi lemak setiap hari.

Katanya, dia mengambil keputusan berniaga secara francais menggunakan modal RM5,000 untuk memulakan perniagaan.

“Pada peringkat awal, saya hanya menyediakan lima jenis roti telur yang difrancaiskan untuk melihat sejauh mana pelanggan boleh menerima hidangan ini.

“Selepas menerima sambutan menggalakkan, saya perkenalkan pula roti bakar dengan gabungan kepingan daging rusa, ayam, kambing, bebola daging, sosej beserta keju,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2016 @ 6:30 AM