DATUK Ismail Ibrahim.
DATUK Ismail Ibrahim.

Johor Bahru: Iskandar Malaysia menarik pelaburan komited RM27.22 bilion sejak Januari hingga September lalu dan yakin wilayah yang pesat membangun itu mampu mencapai jumlah sasaran pelaburan tahunan ditetapkan untuk tahun ini.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, Iskandar Malaysia merekodkan pelaburan komited terkumpul RM185.34 bilion sejak 2006 hingga September 2015.

“Daripada jumlah itu, 49 peratus atau RM90.57 bilion pelaburan daripada pelbagai sektor direalisasikan di Iskandar Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, lima negara menjadi penyumbang utama pelaburan di Iskandar Malaysia sejak 2006 hingga September lalu iaitu Singapura, China, Amerika Syarikat, Jepun dan Sepanyol.

Katanya, daripada jumlah RM185.34 bilion itu, 59 peratus atau RM109.78 bilion pelaburan daripada pelabur tempatan manakala baki 41 peratus atau RM75.56 bilion jumlah pelaburan diterima daripada pelabur asing.

Menurutnya, sektor pembuatan mencatatkan pelaburan tertinggi dengan RM52.10 bilion, logistik (RM5.45 bilion), pelancongan (RM3.10 bilion), penjagaan kesihatan (RM2.65 bilion), pendidikan (RM2.06 bilion), perkhidmatan kewangan (RM0.74 bilion) manakala industri kreatif (RM0.56 bilion).

Katanya, sektor lain yang menyokong pertumbuhan di wilayah itu termasuk hartanah dengan segmen kediaman, runcit dan industri menyumbang pelaburan terkumpul RM94.94 bilion diikuti utiliti (RM12.64 bilion), pelaburan kerajaan terutama dalam infrastruktur (RM8.99 bilion) dan teknologi baru (RM2.12 bilion). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 10:25 AM